Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Wujudkan agensi, perundangan khusus untuk selia selam skuba

    KUALA LUMPUR – Setelah dua tahun “lumpuh” akibat penularan pandemik COVID-19, sektor pelancongan negara kini mula bangun susulan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu dan penggiat industri rancak menerima pertanyaan dan tempahan percutian.

    Antara aktiviti pelancongan yang menjadi tumpuan ialah selam skuba dengan rata-rata pengusaha menerima banyak tempahan daripada peminat kegiatan itu yang mungkin merindui keindahan khazanah marin negara ini yang sememangnya dikenali sebagai antara syurga selam skuba dan snorkel.

    Bagaimanapun, baru beberapa hari negara menerima kunjungan pelawat asing, berlaku insiden duka apabila empat penyelam skuba warga asing dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti itu di perairan Pulau Tokong Sanggol, Mersing, Johor. Tiga daripada mereka ditemukan selamat sementara seorang lagi maut.

    Insiden yang mendapat liputan meluas di dalam dan luar negara itu turut mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan agar aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan serta-merta buat sementara waktu.

    Menurut beberapa penggiat selam skuba yang ditemu bual Bernama, insiden membabitkan penyelam skuba di negara ini sudah beberapa kali berlaku namun tidak ada tindakan serius diambil oleh pihak berwajib bagi menangani permasalahan yang dihadapi mereka.

    Pemilihan jurulatih serta pemandu bot yang bertauliah amat penting supaya mereka dapat membantu penyelam sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    Tiada perundangan khusus

    “Kes penyelam hilang dan ada yang maut sudah beberapa kali berlaku. Walaupun tidak banyak, insiden sebegini boleh memberi kesan kepada pengusaha aktiviti selam negara kerana akan ada yang beranggapan aktiviti ini berbahaya, khususnya bagi yang baru ingin menceburi.

    “Malah, kejadian sebegini juga boleh menjejaskan imej negara sebagai syurga menyelam, apatah lagi ketika ini industri pelancongan sedang dalam fasa pemulihan setelah terkesan teruk dek COVID,” kata jurulatih selam skuba Persatuan Jurulatih Selaman Profesional (PADI) Dr Samir Muhazzab Amin kepada Bernama.

    Media melaporkan aktiviti selam skuba, selam snorkel dan lawatan ke pulau-pulau di perairan Mersing yang buat masa ini dihentikan, hanya akan diteruskan selepas penilaian risiko dilakukan susulan titah Sultan Johor itu.

    Sultan Ibrahim dalam titah baginda pada 7 April lepas turut mahu peraturan berkaitan aktiviti selam skuba dikaji semula secara menyeluruh sebelum kegiatan itu boleh dibenarkan beroperasi semula.

    Mengulas mengenai hal itu, Samir Muhazzab yang juga Timbalan Pengarah Perundingan, Jaringan Komuniti & Pembangunan Akademi Sukan, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata titah Sultan Johor itu tepat pada masanya.

    Ini kerana kata beliau, walaupun negara ini terkenal sebagai antara destinasi utama selam skuba dunia, aktiviti itu tidak dikawal selia oleh mana-mana badan khusus mahupun peruntukan perundangan.

    Beliau yang berpengalaman selama 10 tahun dalam kegiatan itu, berkata hal tersebut amat membimbangkan kerana membuka ruang kepada mereka yang tidak bertauliah atau cukup kepakaran untuk turut menawarkan perkhidmatan.

    “Jadi, apabila berlaku insiden yang sedemikian akan berlaku tuding jari,” hujah beliau.
    Bernama difahamkan pada masa ini latihan dan lesen untuk kegiatan selam skuba boleh ditawarkan oleh mana-mana pihak tanpa ada agensi khusus yang mengawal selia akan kelayakan pihak yang menawarkan.

    Agensi khusus wajar

    Mengulas lanjut, Samir Muhazzab berkata amat penting diwujudkan satu agensi atau badan khusus di bawah kementerian yang berkenaan bagi mengawal selia kegiatan tersebut termasuk mengeluarkan tauliah kepada pusat selam serta memantau pendaftaran jurulatih.

    “Apabila tidak ada agensi atau perundangan khusus untuk mengawal selia, maka mudahlah untuk sesiapa sahaja menawarkan aktiviti ini, dan kita bimbang jika ada pelancong yang tidak tahu akan hal ini menggunakan perkhidmatan mereka yang tidak bertauliah, tidak berlesen.

    “Jika ada agensi, senang untuk orang awam yang ingin menjadi penyelam skuba mengenal pasti pusat selam yang berdaftar mahupun mendapatkan khidmat jurulatih bertauliah,” katanya, menambah ketiadaan undang-undang menyebabkan ada jurulatih yang dipecat kerana salah laku diambil bekerja oleh pusat selam lain.

    Selain itu, beliau berkata tanpa agensi dan undang-undang yang mengawal selia, tenaga pengajar asing bebas menawarkan khidmat mereka di negara ini.

    “Sebagai contoh, saya jurulatih selam skuba tidak boleh mengajar di Australia yang mempunyai perundangan khusus, tetapi di Malaysia jurulatih selam skuba dari Australia boleh masuk bekerja dan mengajar aktiviti ini,” katanya.

    Beliau mendakwa kebanyakan jurulatih asing terbabit masuk ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebelum bekerja di pusat-pusat selam skuba.

    Bernama turut difahamkan buat masa ini kebanyakan persatuan selam skuba di negara ini termasuk PADI mendapat tauliah daripada persatuan induk masing-masing yang berpangkalan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Sweden.

    Menurut Samir Muhazzb lagi, penyelam skuba juga tidak diwajibkan melaporkan lokasi yang ingin diteroka, sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya.

    Amat penting aktiviti ini dilaporkan bagi memastikan kawasan yang mahu diteroka itu selamat termasuk musim yang sesuai untuk kegiatan tersebut selain memudahkan pihak berkuasa maritim bertindak sekiranya berlaku kecemasan, ujar beliau.

    Jarang berlaku

    Dalam pada itu, jurulatih PADI Muhammad Fajrul Omar Muhamad Ridzuan berkata pemilihan jurulatih serta pemandu bot yang bertauliah amat penting supaya mereka dapat membantu penyelam sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan pemandu bot diwajibkan mempunyai lesen mengendalikan aktiviti selam skuba kerana risiko yang dihadapi penyelam skuba tidak sama seperti melakukan aktiviti snorkeling.

    “Sebagai penambahbaikan, kerajaan boleh menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang harus dipatuhi oleh pemandu bot dalam membantu penyelam yang berdepan bahaya,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Fajrul Omar menyifatkan kegiatan selam skuba lebih selamat berbanding sukan lasak lain kerana amat jarang menyebabkan kecederaan serius dan kematian.

    Namun katanya kegiatan itu amat menitikberatkan perancangan teliti.

    Pandangan serupa turut dikongsikan oleh pemeriksa jurulatih selam skuba daripada Rebreather Association of International Divers (RAID) Mohd Dalila Mansor yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam bidang itu.

    Menurutnya, kegiatan tersebut bukan sahaja tidak berbahaya tetapi juga amat menyeronokkan dengan syarat penyelam mematuhi SOP yang ditetapkan serta mempunyai disiplin diri yang tinggi.

    Paling penting jelasnya adalah persiapan sebelum menyelam, melibatkan pemeriksaan peralatan untuk memastikannya berfungsi dengan baik serta mendengar taklimat tentang keadaan kawasan yang bakal diteroka.

    “Ketika taklimat penyelam akan diingatkan tentang risiko keselamatan serta cara-cara meredah arus, langkah seterusnya sekiranya kehabisan udara, jenis-jenis ikan yang berbahaya dan langkah keselamatan yang perlu diambil sekiranya berlaku ‘dive buddy separation’ (terpisah daripada teman penyelam),” katanya.

    Selam dengan selamat

    Menurut Mohd Dalila, sistem ‘buddy’ ini amat ditekankan semasa kegiatan itu bagi memastikan penyelam sentiasa bersama rakan penyelamnya ketika berada di perairan terbuka, sekali gus mengurangkan risiko terpisah atau sesat dibawa arus.

    Jika penyelam mendapati mereka kehilangan rakan penyelam, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memerhati keadaan sekeliling selama satu hingga dua minit, dan jika tidak jumpa, mereka perlu naik ke permukaan dan mengembangkan jaket pengapungan (BCD) untuk terus terapung selama lapan hingga 12 jam, jelasnya.

    Ketika di permukaan, penyelam perlu meniup wisel yang boleh didengar sejauh 200 meter bagi membolehkan pemandu bot mengesan kedudukan penyelam berkenaan.

    “Sebab itu penting dan menjadi kewajipan ‘boatman’ (pemandu bot) kena berada di kawasan di mana mereka turunkan penyelam. Pemandu bot tidak boleh pergi ke mana-mana dan bot perlu dilabuhkan sauh dan mereka perlu memerhati keadaan sekeliling termasuk cuaca dan arus deras.

    “Sekiranya berlaku ribut, pemandu bot akan mengetuk bot dan penyelam di dasar laut akan dengar dan buat ‘safety stop’ dan naik ke bot,” katanya yang turut menjelaskan kepentingan jurulatih selam menaikkan boya penanda permukaan yang berwarna jingga sekiranya tidak dapat mengesan kedudukan bot.

    Tegas beliau, hubungan dan komunikasi antara empat pihak iaitu pusat selam skuba, pemandu bot, jurulatih dan penyelam amat penting dalam kegiatan selam skuba.

    Beliau turut mengingatkan mereka yang ingin melakukan selam skuba agar memastikan kesemua yang terlibat mempunyai lesen dan tauliah serta kepakaran selain pengetahuan luas tentang kawasan selam yang akan dituju.

    Kesemua ini penting demi menjaga kualiti dan nama baik industri selam skuba Malaysia, tegas beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...