Monday, March 27, 2023
21.7 C
Brunei

-

Wujudkan aplikasi mudah alih Pelita Brunei

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Dalam usaha ke arah negara pintar, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan berharap agar aplikasi mudah alih Pelita Brunei dapat diwujudkan memandangkan ia lebih mudah dan cepat diakses oleh lebih ramai pembaca.

Mengulas cadangan itu di Dewan Majlis, baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof mengetengahkan mengenai aplikasi InfoDept.BN yang telah dilancarkan pada 9 Mei 2017 dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

Menurut beliau, isi kandungannya termasuklah akhbar Pelita Brunei, berita utama, waktu sembahyang, mengenai Brunei Darussalam, iklan jawatan kosong dan banyak lagi. Setakat Oktober 2022, ia telah dimuat turun 12,750 kali melalui Android dan 8,480 menerusi iOS.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa sejak ia diperkenalkan, Jabatan Penerangan telah mengendalikan beberapa kaji selidik penambahbaikan terhadap perisian dan aspek teknikal aplikasi mudah alih tersebut di mana fasa pertama dan kedua penambahbaikan telah dilaksanakan pada tahun kewangan 2021-2022.

Beberapa dapatan telah dirumuskan dan penambahbaikan akan dilaksanakan secara berperingkat yang merangkumi perisian dan aspek teknikal aplikasi tersebut bagi meningkatkan lagi mesra pengguna bagi memudahkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat di hujung jari melalui aplikasi tersebut.

Di samping itu, beliau juga menyatakan mengenai e-Pelita Brunei atau e-kertas yang telah diperkenalkan pada 18 Jun 2016 untuk membolehkan akhbar tersebut dilayari dan dimuat turun melalui laman sesawang.

Di samping memudahkan ia dibaca oleh orang ramai, Jabatan Penerangan telah memperkenalkan inisiatif e-kertas berkenaan selaras dengan peningkatan trend penggunaan teknologi mudah alih di negara ini di samping meningkatkan lagi pembaca dalam kalangan belia.

Berdasarkan statistik pembaca e-kertas bagi tempoh Oktober 2021 hingga Oktober 2022 memperlihatkan seramai 54,002. Kedua-dua inisiatif secara dalam talian itu, jelas Yang Berhormat Pehin adalah untuk mendukung pelan strategik JPM dalam memberigakan maklumat dan dasar-dasar kerajaan seterusnya mendukung hasrat negara ke arah Negara Pintar, Jabatan Penerangan juga secara berterusan akan memberigakan platform-platform berkenaan melalui program-program jangkauan yang sedia ada dilaksanakan di sepanjang tahun.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -