Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Wujudkan ikon belia di setiap daerah

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MAC – Terdapat ketidakseimbangan di dalam penggerakan dan aktiviti belia di setiap daerah dan hal ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya kekurangan para pemimpin dalam kalangan belia sebagai peneraju bagi menggerakkan sebarang aktiviti dan program-program, dan juga projek yang tidak selari dengan kehendak belia. 

    Perkara berkenaan telah dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan (gambar) yang sekali gus mencadangkan agar mewujudkan ikon belia yang dipilih daripada kalangan masyarakat yang mempunyai pengaruh kemahiran dan kreatif bagi mewakili setiap daerah semasa berlangsungnya sesi permesyuaratan MMN, kelmarin.

    Beliau turut menekankan bahawa ikon belia adalah sebagai playmaker yang mampu mencetuskan idea-idea kreatif dalam menyediakan program-program dan projek-projek bagi membawa para belia terus aktif dalam semua bentuk kegiatan.

    Maka dalam hal ini, ujar Yang Berhormat Awang Abdul Aziz berharap pihak kerajaan boleh menyediakan inisiatif-inisiatif yang difikirkan bersesuaian bagi memastikan kedayatahanan perkara tersebut.

    Perkara berkenaan telah disambut baik oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad yang antaranya menjelaskan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sangat menyokong dan menitikberatkan penglibatan golongan belia, selaras dengan matlamat Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 iaitu melalui Strategi Teras Pemerkasaan Belia yang menginginkan pembangunan negara secara inklusif tanpa mengira latar belakang sama ada dari segi akademik, mahupun keaktifan belia dalam apa juga bidang. 

    “Alhamdulillah, setiap tahun kita menyambut Hari Belia Kebangsaan khusus dalam menghargai sumbangan belia kepada pembangunan negara. Di samping itu, ada di antara golongan belia kita juga telah menerima pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa seperti Queen’s Young Leader’s Award, Commonwealth Points of Light Award, ASEAN Prize, ASEAN Business Award dan anugerah-anugerah lain bagi mengiktiraf sumbangan belia-belia Brunei di peringkat serantau dan antarabangsa,” tekannya.

    Oleh yang demikian, Yang Berhormat Dato turut menambah bahawa pihak kementerian akan melihat dan meneliti kesesuaian penerima-penerima anugerah berkenaan supaya akan dapat memainkan peranan penting selaku ikon belia dalam sama-sama membawa lebih ramai belia untuk turut aktif dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...