Wujudkan talian khas

Kemas kini mengenai pembukaan sempadan di negara ini masih dalam perbincangan seperti mana yang telah dijelaskan pada sidang media COVID di negara ini hari ini.

Memandangkan belum ada kepastian pembukaan sempadan, sebagai penduduk yang baharu sahaja menghabiskan cuti di luar negara, saya berpendapat pihak relevan perlu mewujudkan satu talian khas bagi perjalanan keluar dan masuk.

Ini kerana semasa keluar dan masuk beberapa minggu lalu, saya berdepan sendiri dan melihat banyak kesukaran yang dialami pengembara, maka dengan adanya hotline perjalanan, pengembara sama ada penduduk bermastautin di negara ini kerana kerja atau pelancong yang akan memasuki negara ini dapat menyalurkan pertanyaan dan berkomunikasi dengan pihak relevan dengan baik.

Pertanyaan mengenai prosedur operasi standard, ujian-ujian PCR dan ART serta pas ketibaan boleh disalurkan ke talian terbabit bagi memudahkan orang ramai. Kekeliruan mengenainya telah terjadi di lapangan terbang di Sarawak, Malaysia baru-baru ini mengakibatkan kesesakan di ruang daftar masuk syarikat penerbangan negara.

Sebahagian besarnya kerana pengembara berdepan masalah dengan PCR, ART dan juga pas kemasukan serta pembayaran ujian-ujian tersebut sebelum pelepasan dan mungkin ada juga yang tertinggal penerbangan kerana masalah-masalah tersebut.

Namun saya puji dan berterima kasih kepada kakitangan penerbangan negara yang berada di lapangan, mereka pantas memberikan pertolongan dan berkomunikasi dengan pihak di sini sehingga kebanyakan yang mengalami masalah daftar masuk dan lain-lainnya dapat diselesaikan meskipun pengembara terpaksa menunggu. Kakitangan ini dengan sabarnya membantu para pengembara dan memastikan pelanggan mendapat layanan sebaiknya, terima kasih saya ucapkan.

Untuk itu, talian hotline pihak berkaitan bagi perkara berbangkit keluar dan masuk sama ada bagi rakyat, penduduk tetap atau warga asing amat dialu-alukan, supaya kami mendapat penjelasan tepat.

Pengembara