Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    Wusyu berpotensi sumbang pingat pertama di Hangzhou

    KUALA LUMPUR, 13 SEPT – Kem wusyu dijangka menjadi penyumbang pingat pertama buat kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, di China bermula 23 September hingga 8 Oktober ini.

    Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Faat berkata berdasarkan jadual pertandingan, atlet wusyu dilihat berpeluang membuka akaun kutipan pingat kontinjen negara dalam acara yang dijadual pada 24 September, kurang 12 jam selepas pembukaan rasmi temasya itu.

    Beliau yang juga Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) menamakan juara dunia 2017 Wong Weng Son (Changquan lelaki) sebagai antara prospek pingat kali ini.

    “Weng Son terlepas pingat emas pada Sukan SEA Kemboja (Mei lepas) kerana masalah pernafasan selepas dijangkiti COVID-19. Selepas menukar ubat, beliau kini berada dalam keadaan baik untuk berikan saingan sengit.

    “Kita sama-sama doakan agar skuad wusyu mampu meraih pingat pertama untuk membakar semangat kontinjen kita. Saya juga ingin memohon 33 juta rakyat Malaysia beri sokongan padu kepada atlet kita ke Sukan Asia,” katanya selepas majlis makan malam bersama wartawan malam tadi.

    Beliau berkata, pihaknya juga mendapat makluman daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou (HAGOC) bahawa tuan rumah sudah bersedia untuk menganjurkan Sukan Asia ke-19 dan hanya menanti ketibaan para atlet dan pegawai dari seluruh pelusuk Asia.

    Weng Son, yang pernah meraih satu emas, enam perak dan satu gangsa di Kejohanan Dunia sejak 2015, selain tiga emas pada Piala Dunia, meraih perak acara Jianshu+Qiangshu dan gangsa Changquan pada Sukan SEA Kemboja. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...