Wusyu Remaja Asia janjikan saingan hebat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Sebanyak 20 hingga 30 buah negara di rantau Asia dijangka mengambil bahagian dalam Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 yang dijadualkan bermula pada 16 hingga 24 Ogos dengan Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam buat pertama kalinya menjadi hos bagi kejohanan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatanganan Tajaan bagi Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10 berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bokiah, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan tajaan di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said; Presiden Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam, Lim Boon Hwa; wakil-wakil penaja serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam.

Di majlis berkenaan, enam buah syarikat penaja menandatangani perjanjian tajaan, di mana menandatangani perjanjian bagi Persekutuan Wushu Negara Brunei Darussalam ialah Lim Boon Hwa, dengan para penaja termasuk TLT Enterprise yang diwakili oleh Jeremy Tan; Audiomarc Company Sdn Bhd yang diwakili oleh Lily Ngo; D’Sunlit Sdn Bhd yang diwakili oleh Mike Chia; Sahid Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengiran Haji Adanan bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail; dan Senja Restaurant yang diwakili oleh Kelvin Ang.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama para penaja pada Majlis Penandatanganan Tajaan bagi Kejohanan Wusyu Remaja Asia ke-10.