MILAN, 5 OKT – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez berkata dia berang dengan apa yang dilihatnya sebagai ketidakadilan pengadil secara terang-terangan ketika pasukannya tewas 1-0 di tangan Inter Milan semasa pertemuan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Barca berada di tangga ketiga dalam Kumpulan C, enam mata di belakang pendahulu Bayern Munich, susulan kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan tersebut, yang mana dua keputusan bola tersentuh tangan tidak memihak kepada pasukannya.
Gol penyamaan pada separuh masa kedua dibatalkan selepas semakan semula oleh pengadil, Slavko Vincic atas kesalahan Ansu Fati menyentuh bol sebelum bola singgah ke kaki Pedri untuk menjaringkan gol.
Barca juga dinafikan daripada diberikan sepakan penalti pada masa penamat selepas pengadil VAR mengesahkan bahawa Denzel Dumfries tidak menyentuh bola tanpa sengaja meskipun kejadian serupa berlaku kepada Fati.
“Jika awda tanya saya, saya merasa berang kerana ia tidak masuk akal, ini satu ketidakadilan,” Xavi memberitahu wartawan.
Xavi menegaskan bahawa pengadil perlu menjelaskan keputusan mereka kepada wartawan selepas perlawanan, sama seperti pengurus yang perlu melakukannya setelah kekalahan.
“Saya merasakan pengadil perlu memberikan penjelasan. Dia patut duduk di sini dan menjelaskannya tetapi sebaliknya dia terus pulang ke rumah,” katanya.
“Ia sangat penting untuk mereka menjelaskan mengenai keputusan mereka, sama seperti yang kami lakukan,” tambahnya.
Simone Inzaghi berkata dia tidak melihat insiden yang mencetuskan kemarahan Xavi, selain daripada kejadian Fati menyentuh bola. – AFP