Xavi mulakan tugas dengan kemenangan

BARCELONA, 21 NOV – Xavi Hernandez memulakan tugas bersama Barcelona dengan kemenangan kelmarin apabila penalti Memphis Depay yang meragukan sudah cukup untuk mengalahkan pesaing tempatan Espanyol 1-0 dalam La Liga.

Jaringan Depay pada permulaan separuh masa kedua memastikan kepulangan Xavi di Camp Nou berakhir dengan kemenangan, tetapi beliau menyedari akan kesukaran tugasnya yang bakal dihadapi.

Percubaan Raul de Tomas dua kali menerjah tiang ketika Espanyol mensia-siakan peluang lewat yang sepatutnya menyaksikan mereka seri dalam perlawanan yang dikuasai Barca selama sejam dan kemudian hampir terlepas dari genggaman mereka.

Keputusan, bagaimanapun, mesti diperoleh dengan cepat dan keputusan ini membawa pasukan Xavi daripada tangga kesembilan dalam jadual kepada tangga keenam, enam mata di belakang pasukan di tempat keempat, Atletico Madrid, yang sebelum ini memerlukan tandukan lewat Felipe untuk menang 1-0 di gelanggang sendiri berdepan Osasuna. Sevilla, di tempat ketiga, terikat 2-2 oleh Alaves.

Terdapat juga suasana berbeza yang memberangsangkan yang tidak dapat dinafikan di Camp Nou, dengan kehadiran 74,418 hampir dua kali ganda berbanding 37,278 bagi menyaksikan Barca seri menentang Alaves dua minggu lalu.

“Mereka membuatkan kami begitu tertekan dalam 15 minit terakhir,” kata Xavi. “Kami sepatutnya mampu mencatat kemenangan 2-0 tetapi ia adalah kemenangan yang bagus untuk memulakan projek.” – AFP

Reaksi pengurus Barcelona, Xavi Hernandez ketika meraikan gol pembukaan Memphis Depay dalam perlawanan La Liga menentang Espanyol kelmarin. – AP