BEIJING, 21 NOV – Sidang Pemimpin ke-29 Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) telah melabuhkan tirainya di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Dalam tempoh sidang itu, Presiden China Xi Jinping mengemukakan siri cadangan penting untuk membina komuniti berkongsi nasib Asia-Pasifik dan menggalakkan integrasi ekonomi rantau.
Ketika membentangkan enam pandangan bagi mendorong kerjasama Asia-Pasifik dalam situasi baharu, beliau menyeru supaya komuniti berkongsi nasib Asia-Pasifik yang damai dan aman, makmur bersama, bersih dan indah serta saling menyokong dapat diwujudkan.
Xi turut menekankan beberapa perkara utama iaitu mengamalkan multilateralisme yang sebenar, memelihara sistem perdagangan multilateral, meneruskan keuntungan untuk semua dan inklusif, mengekalkan keterbukaan dan kerjasama serantau serta berganding bahu merancakkan kemakmuran Asia-Pasifik.
Ketua Eksekutif Sekretariat APEC, Antonio Basilio berpendapat bahawa pembinaan komuniti berkongsi Asia-Pasifik menggambarkan suara bersama rakyat rantau ini yang mengejar kedamaian dan kerjasama, kondusif menjaga arah kerjasama Asia-Pasifik yang tepat.
“Tatkala ekonomi Asia-Pasifik menghadapi cabaran pada masa ini, China kekal melaksanakan keterbukaan serta berkongsi peluang pembangunan, sekali gus memperkukuh keyakinan dan rasa keselamatan entiti ekonomi Asia-Pasifik,” kata beliau.
Dalam tempoh Sidang Kemuncak ke-17 Kumpulan 20 (G20) dan Sidang Pemimpin ke-29 APEC, China dan Indonesia turut menandatangani pelan tindakan lima tahun perkongsian rakan strategik komprehensif yang baharu. Sementara, China dan Thailand pula mengumumkan untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Thailand yang lebih stabil, makmur dan lestari. – Bernama