Xi: China-Asean perkukuh kerjasama, jadi rakan strategik

BEIJING, 10 SEPT – Sejak menjalinkan hubungan dialog pada 30 tahun lalu, China dan ASEAN dilihat terus memperkukuh kerjasama sehingga menjadi rakan dagang terbesar dan strategik di rantau Asia Pasifik.

Demikian kata Presiden China, Xi Jinping di dalam perutusan  tahniahnya sempena perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS), hari ini.

Menurut beliau, sejak COVID-19 menular, kedua-dua pihak berganding bahu membendung wabak dan mengatasi kesukaran, menyemarakkan semangat komuniti berkongsi nasib yang saling membantu.

Terdahulu pada November 2020, Xi turut mengeluarkan empat saranan bagi mempererat komuniti berkongsi nasib dan ia kini memperlihatkan perkembangan positif.

Di samping meneruskan kerjasama dalam bidang tersebut, China turut bersedia mengintensifkan hubungan strategik saling mempercayai, memperluas kerjasama membendung wabak, dan mengoptimumkan kerjasama ekonomi dan perdagangan.

Pada masa sama, China juga akan mendorong pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), membangunkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berkualiti tinggi secara bersama, menaik taraf hubungan rakan strategik, serta memelihara momentum kemakmuran dan pembangunan serantau.

CAEXPO dan CABIS ke-18 yang membuka tirainya di Nanning, Guangxi hari ini, bertemakan “berkongsi peluang baharu saluran darat laut, membangun bersama komuniti berkongsi nasib China-ASEAN”. – Bernama