BEIJING, 12 April – Pemimpin China Xi Jinping menggesa Donald Trump supaya menyelesaikan ketegangan secara aman berhubung program nuklear Korea Utara, ketika Presiden AS memperlihatkan kuasa ‘armada’ tentera lautnya yang bergerak menuju Semenanjung Korea.
Kementerian Luar Negeri China hari ini berkata kedua-dua pemimpin itu telah berbual melalui telefon, beberapa hari selepas Trump menghantar kumpulan serangan yang diketuai oleh kapal pengangkut pesawat udara dalam menunjukkan kekuatannya.
Pengerahan itu disusuli dengan amaran baru yang Washington sudah bersedia untuk berdepan dengan Korea Utara sendirian jika Beijing enggan membantu mengekang cita-cita nuklear jirannya itu.
Pyongyang setakat ini memberi respons dalam gaya ingkar yang biasa dilakukannya, dengan mengatakan ia bersedia untuk ‘sebarang corak perang’ yang dipilih oleh AS dan malah mengancam serangan nuklear ke atas sasaran-sasaran AS.
Ancaman perang itu telah menggentarkan China, sementara menjelaskan kekecewaannya dengan kedegilan Pyongyang tetapi yang keutamaannya masih mencegah sebarang letusan ketenteraan yang boleh mengundang kekacauan dan ketidakstabilan berhampirannya.
Dalam berbual dengan Trump melalui telefon, Xi menekankan bahawa China ‘menyokong penyelesaian isu itu melalui kaedah aman,” menurut kementerian luar.
Semalam, Presiden AS melalui Twitter mengatakan “Korea Utara mencari masalah. Jika China memutuskan untuk membantu, itu adalah baik. Jika tidak, kami akan menyelesaikan masalah tanpa mereka! AS.”
Ujian-ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan AS bahawa Pyongyang kelak memajukan peluru berpandu balistik antara benua yang mampu menghantar peluru nuklear ke tanah besar AS.
Timbul spekulasi bahawa Pyongyang mungkin membuat persiapan bagi pelancaran peluru berpandu, atau malah satu lagi ujian nuklear, untuk memperingati ulang tahun ke-105 pengasasnya, Kim II-Song pada hari Sabtu.
Dalam satu temu bual dengan Fox Business Network, Trump memberi amaran “Kami menghantar armada,” Sangat kuat.”
“Kami ada kapal selam, Sangat kuat. Jauh lebih kuat daripada kapal pengangkut pesawat udara.” – AFP