Xi janji buka pasaran China

SHANGHAI, 5 NOV – Presiden Xi Jinping berjanji akan melaksanakan lebih banyak langkah pembukaan pasaran pada perasmian ekspo import hari ini namun tidak ada inisiatif dalam teknologi dan sekatan lain yang mencetuskan perang tarif dengan Washington.

Ekspo Import Antarabangsa China kedua memaparkan pasaran import yang besar dalam negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk untuk membantu melencongkan aduan bahawa ia memberi subsidi kepada industri dan melindungi mereka daripada persaingan.

Ia menawarkan platform pemasaran kepada pembekal asing untuk produk daripada wain kepada perahu layar tetapi bukan untuk syarikat yang telah pun mantap di China.

“Pintu yang dibuka oleh China adalah luas,” kata Xi dalam ucapan kepada hadirin yang termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron dan perdana menteri Greece, Jamaica dan Serbia. Xi mengesahkan janji untuk mengurangkan sekatan ke atas pelaburan asing dan satu tawaran, pertama dibuat pada Jun, untuk mempercepatkan perjanjian pelaburan China-Eropah.

Beijing telah mengumumkan beberapa perubahan dalam tempoh dua tahun lalu untuk menjadikan ekonominya lebih produktif. Mereka termasuk memotong tarif import dan menghapus had ke atas pemilikan asing dalam pengeluaran kereta, kewa-ngan dan bidang lain.

Tidak ada perubahan yang menyentuh isu Amerika Syarikat (AS), Eropah dan adu-an lain tentang dasar teknologi dan masalah lain yang mendorong Presiden Donald Trump menambah tarif ke atas import China, melancarkan perang perniagaan yang mengancam menjejas pertumbuhan global. Xi tidak menyebut tentang perang dengan Washington tetapi menggesa pembinaan dan ‘pembukaan ekonomi dunia.’

Macron meluahkan kebimbangan mengenai kesan global ke atas ketegangan AS-China dan mengharapkan penyelesaian dapat dicapai secepat mungkin.

“Perang perniagaan hanya berakhir dengan kerugian,” kata Macron dalam ucapan. Beliau meluahkan harapan satu penyelesaian yang akan ‘melindungi kepentingan rakan perniagaan China dan Amerika Syarikat, bermula dengan Kesatuan Eropah.’

Amerika dan China mengumumkan perjanjian ‘fasa pertama’ pada 12 Oktober selepas rundingan di Washington. Duta sedang merunding butir-butir. Kedua-dua pihak tidak melaporkan perkembangan mengenai perbalahan terbesar mereka dan ahli ekonomi berkata penyelesaian muktamad tidak mungkin dicapai tahun ini. – AFP

Presiden China Xi Jinping dilihat berucap dalam siaran langsung di pusat media ketika pembukaan Ekspo Import Antarabangsa China di Shanghai, kelmarin. – AP