Xi optimis terhadap pertemuan AS-Korea U

SEOUL, 10 Jan – Presiden China, Xi Jinping menawarkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sokongan padu dalam rundingan nuklear yang menemui jalan buntu dengan Amerika Syarikat (AS), dengan menegaskan kedua belah pihak seharusnya ‘mencapai kompromi’, lapor media kerajaan hari ini.

Kim telah melawat Beijing dengan menaiki kereta api bagi rundingan dua hari yang menegaskan semula peranan China dalam proses itu dan dilihat sebagai sesi strategi sebelum sidang kemuncak kedua antara pemimpin Korea Utara dan Presiden AS, Donald Trump.

Pada pertemuan pertama mereka di Singapura pada Jun lalu, Kim dan Trump telah menandatangani dokumen dengan kandungannya yang kurang jelas dengan Kim berjanji akan berusaha ke arah ‘penamatan program nuklear semenanjung Korea’.

Tetapi sejak itu kemajuan terbantut dengan Pyongyang dan Washington yang menempatkan 28,500 orang tentera di Korea Selatan, tidak bersetuju dengan syarat tersebut.

Korea Utara ingin pengurangan daripada pelbagai set sekatan yang dikenakan ke atasnya berhubung program peluru berpandu balistik dan senjata nuklear, manakala AS mahu sekatan terus dikekalkan sehingga Pyongyang melepaskan program senjata sepenuhnya, sesuatu yang tidak dijanjikan oleh Korea Utara untuk berbuat demikian.

China juga mahu sekatan dikurangkan dan Xi berkata beliau ‘berharap Korea Utara dan AS akan mencapai kompromi’ menurut laporan agensi berita rasmi China, Xinhua.

“Xi amat menyanjungi tentang langkah positif yang diambil oleh pihak Korea Utara,” lapornya lagi.

Pyongyang telah melancarkan enam senjata nuklear dan melancarkan peluru berpandu yang mampu sampai ke seluruh AS, tetapi tidak melakukan ujian seumpama itu dalam tempoh lebih setahun, dan telah meletupkan laluan masuk ke tapak ujian nuklear yang menurutnya tidak lagi diperlukan. Pyongyang menolak tuntutan yang disifatkannya perlucutan senjata ‘sehala’ sebagai ‘seperti gengster’. – AFP

Limousin yang dinaiki oleh pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un meninggalkan Diaoyutai State Guesthouse pada 9 Januari 2019 selepas mengadakan lawatan yang tidak diumumkan di Beijing, China. – AFP