Xi seru cari jalan penyatuan

TAIPEI, 26 SEPT – Presiden China, Xi Jinping menekankan hubungan antara Beijing dan Taipei dalam keadaan ‘suram’ hari ini, dan menggesa parti pembangkang utama Taiwan membantu mencari jalan ‘penyatuan negara’.

China melihat Taiwan yang diperintah sendiri secara demokratik sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan bertekad untuk mengambilnya suatu hari nanti, jika perlu secara paksa.

Xi menjadi pemimpin yang paling agresif sejak Mao Zedong, menyifatkan pengambilan pulau itu sebagai tidak dapat dielakkan.

Dalam surat ucapan tahniah kepada Eric Chu, pemimpin baharu Parti Kuomintang (KMT) yang mesra Beijing, Xi menyatakan Parti Komunis China dan KMT harus bekerjasama di bawah dasar politik bersama.

“Pada masa lalu kedua-dua pihak bertegas dengan ‘konsensus 1992’ dan menentang ‘kemerdekaan Taiwan’… untuk mempromosikan pembangunan damai dalam hubungan selat,” kata Xi dalam surat yang disiarkan oleh KMT.

“Ketika ini, keadaan di Selat Taiwan adalah kompleks dan suram,” katanya menggesa kedua-dua pihak bersama-sama berusaha mewujudkan keamanan dan ‘penyatuan negara. – AFP

Presiden China, Xi Jinping semasa menyampaikan ucapan menerusi sidang video semasa majlis pembukaan Forum Zhongguancun pada 24 September. – Xinhua