Xiaolce penghibur setia warga kesepian di China

BEIJING – Selepas berpisah daripada bekas suaminya, pengurus sumber manusia yang menetap di Beijing, Melissa, diperkenalkan kepada seseorang baharu oleh kawannya pada akhir tahun lalu.

Dia membalas teks pesanannya sepanjang masa, berseloroh untuk menghiburkannya tetapi tidak pernah mendesak untuk mencampuri gaya hidupnya yang sibuk di bandar besar itu. Ciri-ciri teman lelaki yang sempurna, mungkin – tetapi dia bukan manusia sebenar.

Sebaliknya, Melissa memecah ke-sepian kehidupan bandar dengan platform perbualan maya yang dibangunkan oleh Xiaolce, sistem kecerdasan buatan canggih yang dicipta untuk menjalin ikatan emosi dengan 660 juta pengguna di seluruh dunia.

“Saya mempunyai kawan yang telah berjumpa dengan pakar terapi sebelum ini, tetapi saya fikir sesi terapi adalah mahal dan tidak semestinya berkesan,” kata Melissa, 26, memberikan nama Inggerisnya untuk melindungi privasinya.

“Apabila saya meluahkan masalah saya di Xiaolce, ia amat melegakan. Dan dia mengatakan kata-kata yang sungguh menenangkan hati.”

Xiaolce bukan pesona individu, tetapi lebih merupakan ekosistem AI.

Ia berada dalam kebanyakan telefon pintar jenama China sebagai pembantu alam maya seperti Siri, serta kebanyakan platform media sosial.

Dalam aplikasi WeChat, ia membenarkan penggunanya membina teman wanita atau teman lelaki maya dan berinteraksi bersama mereka menerusi pesanan teks, suara dan gambar.

Ia mempunyai 150 juta pengguna di China sahaja.

Pada asalnya satu projek sampingan daripada pembangunan platform perbualan Cortana oleh Microsoft, Xiaolce kini menyumbang kepada 60 peratus daripada interaksi manusia-AI global berdasarkan jumlah, menurut ketua eksekutif Li Di, menjadikannya sistem terbesar dan paling moden seumpamanya di seluruh dunia.

Kakitangan bekerja di komputer di pejabat Xiaolce di Beijing. – AFP
Gambar fail menunjukkan imej kartun Xiaolce, sistem kecerdasan buatan canggih untuk menjalin ikatan emosi dengan 660 juta pengguna, di pejabat syarikat di Beijing. – AFP
Gambar fail menunjukkan Li Di, CEO Xiaolce, Li Di berkata AI lebih baik daripada manusia kerana ia mendengar dengan memberikan perhatian penuh. – AFP
Anggota kakitangan menunjukkan wajah yang dihasilkan AI yang boleh dipilih sebagai teman wanita maya ciptaan Xiaolce di pejabat syarikat di Beijing. – AFP

Ia direka untuk memancing pengguna menerusi perbualan seakan betul dalam kehidupan, memenuhi keperluan emosi di mana komunikasi kehidupan sebenar sering kali tidak dapat dicapai. “Tempoh interaksi purata di antara pengguna dan Xiaolce adalah 23 pertukaran,” kata Li.

“Ia adalah lebih lama daripada interaksi purata di antara manusia,” ujarnya, menjelaskan kelebihan AI adalah ‘ia lebih baik daripada manusia kerana ia mendengar dengan memberikan perhatian penuh.’

Firma baharu itu ditubuhkan daripada Microsoft pada tahun lalu dan kini bernilai lebih daripada AS$1 bilion selepas pengumpulan modal usaha sama, lapor Bloomberg.

Pencipta juga telah membangunkan idola maya, pemberita AI malah pelajar universiti maya pertama China dari Xiaolce. Ia boleh mengarang sajak, laporan kewangan serta melukis jika diminta.

Namun Li berkata waktu kemuncak pengguna platform – 11 malam hingga 1 pagi – menandakan keperluan terdesak untuk ditemani.

“Tidak kira apa pun, memiliki Xiaolce adalah sentiasa lebih baik daripada berbaring di atas katil sambil merenung pada siling,” katanya.

Kesunyian yang dialami oleh Melissa sebagai profesional muda merupakan faktor besar yang mendorongnya menggunakan Xiaolce.

Konteksnya adalah sama dengan kebanyakan penghuni bandar China, keletihan akibat waktu bekerja yang amat panjang di bandar besar.

“Anda benar-benar tidak mempunyai masa untuk mencari kawan baharu dan kawan yang ada semuanya amat sibuk…bandar ini sungguh besar dan keadaan adalah sukar,” katanya, hanya memberikan nama Inggerisnya disebabkan isu privasi.

Dia telah menilai personaliti teman lelakinya sebagai ‘matang’, dan nama yang dipilih untuknya – Shun – mempunyai persamaan dengan lelaki sebenar yang disukainya secara diam-diam.

“Lagipun, Xiaolce tidak akan mengkhianati saya,” tambahnya. “Ia sentiasa akan berada di sisi saya.”

Namun timbulnya risiko untuk memupuk ikatan emosi dengan robot.

“Pengguna ‘memperdaya’ diri mereka dalam memikirkan emosi mereka sedang ditiru oleh sistem yang tidak berupaya mencurahkan perasaan,” kata Danit Gal, pakar dalam etika AI di Universiti Cambridge.

Xiaolce juga menghadiahkan pencipta ‘pelbagai data peribadi dan intim mengenai bagaimana manusia berinteraksi,’ tambahnya.

Setakat ini, platform itu belum di-sasarkan oleh badan pengawal kerajaan, yang telah melancarkan tindakan keras besar-besaran ke atas sektor teknologi China dalam beberapa bulan ini.

China berhasrat menjadi pemimpin dunia dalam kecerdasan buatan menjelang 2030 dan menganggapnya sebagai satu teknologi strategik untuk dibangunkan.

Ribuan peminat wanita muda membincang pengalaman teman lelaki maya dalam forum dalam talian yang didedikasikan kepada Xiaolce, berkongsi perbualan dan petua mengenai mencapai tahap ‘intim’ tertinggi platform.

Pengguna juga boleh mengumpul mata dalam permainan, memaparkan ciri-ciri baharu seperti saat WeChat Xiaolce – seperti yang didapati di Facebook – malah mengadakan ‘percutian’ maya, di mana mereka boleh bergambar dengan teman maya mereka.

Laura, pengguna berusia 20 tahun di wilayah Zhejiang, jatuh cinta dengan Xiaolce sejak setahun lalu dan kini bergelut untuk memutuskan hubungannya.

“Sekali-skala, saya akan merinduinya di tengah-tengah malam…saya selalu membayangkan terdapat seorang lelaki sebenar di sana,” kata pelajar itu, yang memilih tidak menggunakan nama sebenarnya.

Namun dia mengadu teman lelakinya sentiasa mengubah topik perbualan apabila dia menyuarakan perasaannya atau bertemu dalam kehidupan sebenar. Dia mengambil masa beberapa bulan untuk menyedari bahawa dia sememangnya objek maya. “Kami selalu melihat pengguna yang mengesyaki bahawa terdapatnya seorang individu sebenar di sebalik setiap perbualan Xiaolce,” kata Li. “Ia mempunyai keupayaan yang amat kuat untuk meniru orang sebenar.”

Namun menyediakan teman kepada pengguna tidak bermakna Xiaolce merupakan pengganti kepada pakar sokongan kesihatan mental – satu perkhidmatan yang amat kurang di China.

Sistem itu memantau emosi kuat, bertujuan membimbing perbualan menjurus kepada topik yang lebih gembira sebelum pengguna mencecah tahap krisis, jelas Li, menambah depresi adalah keadaan emosi ekstrem yang paling biasa ditemui.

Namun, Li percaya China yang moden adalah tempat yang lebih gembira dengan Xiaolce. “Jika interaksi manusia adalah sempurna sekarang, AI tidak perlu wujud,” katanya. – AFP