Xiaomi lancar mesin layan diri inovatif baharu di India

MUMBAI, 15 Mei – Xiaomi, sebuah syarikat elektronik China yang beribu pejabat di Beijing, mengumumkan satu inovasi baharu dalam bentuk inisiatif Kios Mi Ekspres di Bangalore, India, lapor agensi berita Xinhua memetik satu kenyataan.

Kenyataan itu menyebut Kios Mi Ekspres itu merupakan mesin layan diri yang membolehkan pengguna dan Peminat Mi membeli telefon pintar Xiaomi dan aksesori mudah alih secara langsung.

Kios itu direka bentuk untuk menerima semua jenis pembayaran sama ada menerusi kad kredit, kad debit, wang tunai dan UPI, menjadikan pembelian amat mudah kepada pelanggan.

Model runcit inovatif ini akan menawarkan kecekapan perniagaan e-dagang, menjadikannya satu pendekatan yang kos efektif. Semua teknologi yang melengkapi Kios Mi Ekspres telah dikaji dan dibangunkan di India.

Syarikat itu berhasrat mewujudkan beberapa lagi kios dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan secara beransur-ansur memperluas pelan runcit itu di lebih banyak bandar di India.

Xiaomi diasaskan pada April 2010 dan disenarai di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong pada 9 Julai 2018. – Bernama