Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Xin Hwa tubuh pusat e-pemenuhan bernilai RM100 juta

    KUALA LUMPUR, 16 MAC – Penyedia perkhidmatan logistik bersepadu domestik, Xin Hwa Holdings Bhd (Xin Hwa) telah menubuhkan pusat e-pemenuhan dengan kos kira-kira RM100 juta di Shah Alam.

    Xin Hwa berkata pusat e-pemenuhan itu adalah bangunan yang dibina khas, direka khusus untuk memudahkan logistik e-dagang dan menyokong pasaran e-dagang yang berkembang pesat, yang memerlukan volum tinggi dan pakej bersaiz lebih kecil secara amnya.

    “Kemudahan ini adalah sebahagian daripada strategi pengembangan kapasiti gudang Xin Hwa yang bertujuan untuk memanfaatkan peningkatan permintaan bagi ruang pergudangan akibat gangguan rantaian bekalan dan pertumbuhan aktiviti dagangan dalam talian.

    “Lebih penting lagi, penubuhan ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia sambil menyediakan platform yang ideal untuk memudahkan pertumbuhan pesat e-dagang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Terletak secara strategik di Lebuhraya ELITE, pusat ini terdiri daripada pejabat tujuh tingkat dan gudang tiga tingkat dengan jumlah binaan 300,000 kaki persegi.

    Xin Hwa berkata pelancaran pusat itu pada hari ini adalah tepat pada masanya untuk industri logistik Malaysia berikutan kekurangan ruang pergudangan yang lazim berpunca daripada peralihan pengguna kepada membeli-belah dalam talian, yang diburukkan lagi oleh gangguan rantaian bekalan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata agensi itu akan terus memudahkan syarikat logistik Malaysia dalam usaha mereka menceburi perniagaan e-dagang, terutamanya melalui segmen e-pemenuhan.

    “MIDA yakin libat urus berterusan antara sektor awam dan swasta akan mempercepatkan pembangunan ekosistem logistik dan e-dagang Malaysia.

    “Matlamat kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk meningkatkan kekayaan dan kemakmuran negara secara keseluruhan,” katanya.

    Pengarah Urusan Xin Hwa, Ng Aik Chuan berkata syarikat itu menyasarkan untuk meneruskan pemulihan kukuh dalam industri logistik ketika negara berkembang ke arah fasa peralihan ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada masa akan datang.

    “Sehubungan itu, kami telah merancang untuk pelaburan selanjutnya bagi terus mengembangkan kapasiti logistik dan pergudangan kami dan berharap dapat bekerjasama dengan MIDA dalam merealisasikan perancangan ini,” katanya.

    Xin Hwa menawarkan kedua-dua pilihan gudang khusus dan gudang bukan khusus melalui lapan gudangnya, yang mana lima daripadanya berada di Johor dan setiap satu di Klang, Shah Alam dan Kuantan.

    Pada masa ini, syarikat itu mempunyai kapasiti penyimpanan yang mencukupi kira-kira 1.2 juta kaki persegi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...