Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Xpander terbaharu lebih selesa, dinamik

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Pengamal media tempatan hari ini diberikan peluang merasakan kehebatan memandu Mitsubishi Xpander terbaharu menerusi acara pandu uji media yang dianjurkan oleh GHK Motors Sdn Bhd.

    Sebelum acara pandu uji, taklimat mengenai model terbaharu Mitsubishi Xpander yang dilancarkan pada 21 Oktober lalu di Bilik Pameran Mitsubishi, Beribi itu telah diadakan di Tingkat 2, Bilik Eksekutif Melati, Hotel Mulia.

    Taklimat disampaikan oleh Eksekutif Pemasaran GHK Motors, Awang Ahmad Faezul Imtiaz bin Adam dibantu oleh pasukan pemasaran dan perunding jualan.

    Mitsubishi Xpander terkenal sebagai MPV crossover mesra keluarga yang dibina dengan keupayaan untuk membawa tujuh orang dengan selesa, juga ruang dalaman terbaik dalam kelasnya dan susun atur yang membolehkan penumpang mudah masuk dan keluar.

    Model terbaharu berkenaan diperkenalkan dengan reka bentuk yang diperbaharui pada fungsi luaran dan dalaman.

    Model terbaharu Mitsubishi Xpander yang dipamerkan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Xpander terbaharu itu dikuasakan enjin Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control system (MIVEC) 1.5 liter dengan empat kelajuan automatik, yang telah meningkatkan kesenyapan enjin dan kecekapan bahan api.

    Dengan roda aloi 17 inci yang baharu, Xpander itu mempunyai ketinggian 225mm dari tanah (20mm lebih tinggi daripada model Xpander sebelumnya). Ia memberikan keupayaan yang lebih baik di jalan lebih kasar atau banjir, dan penglihatan yang lebih tinggi dan jelas untuk pemandu.

    Semasa pandu uji tersebut, apa yang mengagumkan para pengamal media adalah suspensinya di mana ketika dalam perjalanan, sangat terasa keselesaan walaupun melalui jalan yang tidak seimbang dan berlopak.

    Ini kerana suspensi hadapan dan belakang Xpander itu dipertingkatkan dengan menggunakan penyerap yang lebih besar, menghasilkan pemanduan lebih rata dan selesa.

    Perbezaan paling ketara berbanding model sebelumnya yang dapat diperhatikan pengamal media adalah dari segi luaran terutama bahagian hadapannya yang menampilkan Dynamic Shield terkini MMC, manakala bampar mendatar yang memberikan gambaran pusat graviti rendah dan plat skid tiga dimensi adalah yang terbaharu dipasang.

    Awang Ahmad Faezul Imtiaz menjelaskan bahawa warna baharu turut ditawarkan iaitu New Blade Silver Metallic. Warna lain yang tersedia termasuk Quartz White Pearl, Graphite Grey Metallic, Jet Black Mica, Red Metallic dan Deep Bronze Metallic.

    Mitsubishi Xpander mendapat empat bintang dalam penarafan keselamatan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Beliau turut memberitahu bahawa Xpander itu disokong dengan jaminan selama tiga tahun atau 60,000km.

    Terdahulu dalam taklimatnya, Awang Ahmad Faezul Imtiaz mengongsikan bahawa GHK Motors menawarkan promosi baucar tunai $1,000 dan set barangan GHK apabila pelanggan membeli Xpander terbaharu itu di samping kadar faedah istimewa.

    Pelanggan juga layak untuk Promosi Akhir Tahun GHK 2022 – Pandu Sekarang Bayar Tahun Depan (pelan pembayaran kewangan yang fleksibel) dan peluang memenangi wang tunai menerusi cabutan bertuah. Promosi berkenaan telah bermula awal Oktober lalu sehingga penghujung Disember depan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...