APPLE telah memperkenalkan tiga telefon pintar terbaharunya iaitu iPhone XS, XS Max yang lebih besar dan XR yang lebih murah.
Dilancarkan pada satu acara di Teater Steve Jobs, Apple Park, iPhone XS Max (paparan 6.5 inci) pada asasnya lebih besar daripada iPhone XS (5.8 inci).
Tarikan utama model-model baharu ini adalah sokongan bagi dwi SIM dan dwi standby (DSDS), walaupun ia didilaksanakan dengan eSIM untuk SIM kedua bagi kebanyakan negara, sementara China mendapat sokongan bagi dua SIM fizikal pada iPhone XS Max.
Dengan pelancaran ini, Apple menghentikan pengeluaran iPhone X, iPhone SE serta siri iPhone S.
Bagi spesifikasi, ketiga-tiga model didatangkan terus dengan iOS 12. Model XS memampilkan paparan OLED Super Retina (1125×2234 piksel) 5.8 inci dengan takuk sama yang terdapat pada iPhone X tahun 2017.
Sementara itu, iPhone XS Max mendapatkan panel OLED Super Retina yang lebih besar pada 6.5 inci dengan resolusi piksel 1242×2688, salah satu paparan telefon pintar terbesar dalam pasaran pengguna dengan takuk paparan yang serupa.
Varian XR pula menampilkan paparan LCD Retina (828×1792 piksel) 6.1 inci, juga dengan takuk yang sama.
Ketiga-tiga varian dikuasakan SoC A12 Bionic terkini daripada Apple yang dikatakan antara yang pertama didatangkan dengan pemproses
7nm.
Cip A12 Bionic enam teras baharu ini mempunyai dua teras prestasi sehingga 15 peratus lebih pantas dan 40 peratus tenaga lebih rendah dan empat teras kecekapan sehingga 50 peratus tenaga lebih rendah.
Naib Presiden Kanan Pemasaran Seluruh Dunia, Phil Schiller berkata, ini memberikan iPhone XS dan iPhone XS Max jangka hayat bateri masing-masing 30 minit dan sejam 30 minit lebih lama berbanding iPhone X.
Apple juga mengekalkan pengecas Type-A ke Lightning 5W, bagaimanapun dongle 3.5mm-to-Lightning tidak akan disediakan kali ini.
Pilihan storan dalaman varian XS dan XS Max termasuk 64GB, 256GB dan 512GB bagi iPhone XS dan iPhone XS Max.
Manakala itu, iPhone XR didatangkan dengan pilihan storan dalaman 64GB, 128GB dan 256GB.
Sementara iPhone XS dan XS Max menonjolkan rangka keluli tahan karat gred pembedahan dengan kasing kaca pada kedua-dua belah, seperti iPhone X,
varian XR didatangkan dengan rangka aluminium gred aeroangkasa siri
7000.
XS dan XS Max merupakan model-model iPhone pertama yang didatangkan dengan ciri kalis air dan debu IP68 (generasi sebelumnya mengetengahkan pensijilan IP67).
Kedua-duanya juga menampilkan panel kaca di belakang dan menyokong pengecasan wayarles.
Manakala itu, varian XR pula mempunyai pensijilan IP67.
Kedua-dua peranti kemegahan berkenaan menampilkan dua kamera belakang yang dipertingkatkan. Ia mempunyai sensor sudut luas 12MP (apertur f/1.8) dan sensor telephoto 12MP (f/2.4). Kamera belakang mendapat lensa 6-elemen dan zum optic 2x. Selain daripada itu, terdapat denyaran TrueTone quad-LED.
Di depan pula terdapat sensor kamera RGB 7MP yang dikatakan lebih pantas dan menonjolkan apertur
f/2.2.
Sementara itu, iPhone XR dilengkapi satu kamera belakang dengan resolusi 12MP dan mempunyai lensa 6-piece di samping apertur f/1.8.
Sensor belakang juga didatangkan dengan denyaran quad-LED True Tone, dipadankan dengan sistem pengesan kelipan terkini dan merangkumi OIS serta Fokus Piksel.
Di depan pula terdapat sensor kamera 7MP yang menyokong mod Potrait yang dipertingkat dan didatangkan dengan apertur f/2.2, kamera IR serta ‘dot projector’.
Ketiga-tiga varian kini didatangkan dengan ID Wajah yang dipertingkatkan, membolehkan pengguna membuka peranti dengan hanya melihatnya.
Pengenalan wajah menggunakan inframerah dan teknologi ‘dot projector’, dipadankan dengan perisian dan algoritma Apple untuk menjadikannya salah satu mekanisme paling selamat dalam pasaran. Ia adalah ‘pengesahan muka paling selamat dalam telefon pintar,’ dakwa Apple.