KOLKATA, 25 MEI – Siklon kuat menuju timur India hari ini, memaksa pemindahan hampir 2 juta orang hanya seminggu selepas taufan besar meragut 155 nyawa di pesisir barat negara yang juga terjejas teruk dengan penularan dan kematian koronavirus itu.
Siklon Yaas dijangka melalui Teluk Bengal dan bakal membadai negeri-negeri Bengal Barat dan Odisha pada pertengahan hari esok, menurut Jabatan Meteorologi India, diramalkan membawa angin sehingga 165km sejam.
Pakar menyalahkan pemanasan air laut akibat perubahan iklim yang membawa kepada peningkatan frekuensi dan intensiti taufan seumpamanya.
Hampir dua juta orang tinggal di sepanjang pesisir timur India dipindahkan ke tempat perlindungan sementara, kata pegawai hari ini dan taufan turut menjejaskan usaha negara memerangi penularan COVID-19 yang semakin memburuk.
“Siklon ini tamparan hebat kepada ramai orang di daerah pesisiran yang keluarga mereka juga terjejas kerana jangkitan dan kematian COVID-19,” kata Menteri Pembangunan Sundarbans Bengal Barat, Bankim Chandra Hazra memberitahu AFP.
“Hampir setengah juta orang sudah dipindahkan dari kediaman mereka di Bengal Barat dan ia satu cabaran besar untuk memberikan perlindungan dan dalam masa yang sama, mengekalkan penjarakan fizikal,” tambahnya
Beberapa pusat vaksinasi di daerah itu juga terancam dengan ibu negeri Kolkata akan menggantung operasi, kata pegawai, manakala usaha sedang dijalankan bagi memastikan bekalan oksigen dan perubatan ke hospital semasa taufan terus diterima. – AFP
