SAN FRANCISCO, 24 Jan – Yahoo berkata semalam perjanjiannya yang bernilai AS$4.8 bilion untuk menjual aset internet kepada syarikat telekom AS Verizon telahpun ditangguh beberapa bulan.
Pemeteraian yang pada asalnya dijadual pada suku tahun ini telahpun ditangguhkan pada suku tahun akan datang disebabkan “kerja-kerja diperlukan untuk memenuhi syarat-syarat pemeteraian,” kata syarikat internet California dalam satu kenyataan, menambah ia sedang bekerja dengan cepat dan cekap untuk menutup urus niaga secepat mungkin.
Berita itu keluar dalam penyata pendapatan yang menunjukkan Yahoo memperoleh keuntungan sebanyak AS$162 juta dalam tiga bulan terakhir tahun lalu.
Perjanjian dengan Verizon, yang akan mengakhiri operasi Yahoo lebih daripada 20 tahun sebagai syarikat bebas, telahpun diragui selepas pendedahan dua pencabulan data.

Yahoo berkata ia sedang mempertingkat keselamatan tatkala ia bergelut dengan kesan penggodaman.
“Keutamaan kami adalah mempertingkat keselamatan untuk pengguna kami,” kata ketua eksekutif Yahoo Marissa Mayer. Beliau menambah “kira-kira 90 peratus daripada pengguna aktif harian kami telah pun mengambil atau tidak perlu mengambil tindakan pemulihan untuk melindungi akaun mereka, dan kami sedang meneruskan usaha agresif untuk menambah jumlah ini.”
Yahoo mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna bulanan pada 2016, dengan lebih 650 juta daripada mereka berkomunikasi daripada telefon bimbit. – AFP