Yahya.M.S penerima HSM ke-9

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya bin Haji Ibrahim (Yahya.M.S) telah diumumkan sebagai penerima Hadiah Sastera Mastera (HSM) ke-9 bagi Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, peserta tanah air, Awangku Mohd Noor Sham @ Awangku Hidie bin Pengiran Hidup pula dinobatkan sebagai johan Kategori Puisi dalam Sayembara Penulisan Krea-tif Mastera yang dibahagikan kepada dua kategori dengan Kategori Cerpen dijuarai oleh peserta dari Indonesia.

Tempat kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori pula masing-masing dimenangi oleh peserta dari Malaysia dan Indonesia.

Pengumuman para pemenang bagi kedua-dua program penggalak penulis yang diungkayahkan oleh Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) Malaysia dengan kerjasama negara anggota Mastera dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura itu telah diadakan secara maya dan terbuka menerusi Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, kelmarin.

Pengumuman telah dibuat oleh Ketua Pengarah, DBP Malaysia, Yang Berbahagia Datuk Haji Abang Sallehuddin bin Abang Haji Shokeran.

Turut menyaksikan majlis dalam talian berkenaan ialah Pemangku Pengarah DBP Brunei, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab selaku pemangku pengerusi Mastera Brunei Darussalam, panel penilai anugerah, ahli-ahli Mastera dari lima negara anggota serta para penggiat seni sastera, bahasa dan budaya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, para penerima HSM ke-9 meliputi Kategori Karya Sastera Kreatif dan Kategori Karya Sastera Bukan Kreatif di peringkat rantau Mastera merupakan pengkarya berbahasa Melayu dari rantau Asia Tenggara masing-masing dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Bagi Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya muncul johan melalui dua buah karya beliau iaitu Kumpulan Puisi: Surat-surat Kemerdekaan, dan karya Gagasan Ketatanegaraan dalam Syair Almarhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dalam kedua-dua kategori tersebut.

Kenyataan menyatakan, kedua-dua program penggalak penulis itu bermatlamat untuk mengembangkan bakat dan karya kreatif serta sebagai usaha memartabatkan sastera, bahasa dan budaya Melayu di rantau ini.

Yang Berhormat Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Yahya (Yahya.M.S) diumumkan sebagai penerima Hadiah Sastera Mastera ke-9 bagi Negara Brunei Darussalam menerusi dua karya beliau.
Awangku Mohd Noor Sham @ Awangku Hidie pula diumumkan sebagai johan dalam Kategori Puisi bagi Sayembara Penulisan Kreatif Mastera.