Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Dalam tempoh lima dekad pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Brunei telah mencapai kemerdekaan dan pembangunan yang pesat serta rakyat negara turut menikmati kehidupan aman dan sejahtera.
Dengan kepimpinan bijaksana Baginda Sultan, Negara Brunei Darussalam terus menikmati kemakmuran, kestabilan sosial serta rakyat negara yang hidup gembira dan aman.
Di samping itu, dalam merealisasikan pemodenan negara, Brunei tetap mampu mengekalkan keunikan tradisi budayanya dan kini, Brunei memasuki sebuah era mempelbagaikan ekonominya yang baru.
Namun begitu, dengan kepimpinan yang berwawasan dan bijaksana Baginda Sultan serta usaha keras daripada penduduk negara, Brunei akan terus maju dalam pembangunan negara serta mampu untuk mencapai Wawasan 2035 dengan jayanya.
Keyakinan itu disuarakan oleh Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian ketika berucap di Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-68 di The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir di majlis itu bagi mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim berserta isteri.
Turut hadir ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, para pegawai kanan kerajaan, kakitangan dari Kedutaan Republik Rakyat China serta para jemputan khas.
Yang Jian berkata bahawa hubungan persahabatan di antara Brunei dan China yang sekian lama terjalin terus berkembang di mana Brunei merupakan negara kehormat semasa Ekspo ASEAN-China 2017.
Di samping itu, beliau berkata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah berkenan berangkat ke Ekspo ASEAN-China di Nanning dan berkenan mengadakan lawatan negara ke China, baru-baru ini.
Katanya, semasa lawatan itu, pemimpin kedua-dua buah negara telah mencapai persetujuan untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama strategik serta berkenan menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen kerjasama.
Beliau yakin bahawa dengan kepimpinan bijaksana pemimpin dan usaha bersama rakyat kedua-dua buah negara, kerjasama di antara Brunei dan China akan terus mencapai kejayaan.
Majlis diteruskan dengan pemotongan kek ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman serta isteri dan Yang Jian yang diikuti dengan penyampaian cenderahati oleh Yang Jian kepada Yang Berhormat Pehin dan isteri.