BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Pasukan Politeknik Brunei (PB) yang menyertai Shell Eco-Marathon Asia (SEMA) di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia, baru-baru ini, telah berjaya memecahkan rekod dalam Kategori Prototype Battery Electric (kenderaan futuristik dan aerodinamik) dengan kenderaan Yakin III.
Kenyataan menjelaskan, semasa pertandingan itu, pasukan-pasukan mesti lulus semua 12 hingga 13 pemeriksaan keselamatan dan teknikal yang intensif sebelum mereka dibenarkan berlumba di litar. Bagi kategori prototaip, sebanyak 110 buah pasukan (kebanyakannya daripada universiti-universiti) ikut serta tetapi hanya 70 pasukan lulus semua pemeriksaan teknikal.
Dalam pemeriksaan itu, pasukan prototaip dari PB yang kesemuanya peserta perempuan telah lulus semua pemeriksaan berkenaan dan daripada lapan percubaan, pasukan itu berjaya melaksanakan tujuh percubaan.
Perlumbaan itu merangkumi lapan percubaan, di mana setiap percubaan, pasukan mesti menamatkan empat pusingan dalam masa kurang daripada 25 minit. Matlamatnya adalah untuk menggerakkan kenderaan dengan penggunaan tenaga yang kurang pada setiap perlumbaan.
Dalam keputusan akhir, pasukan PB berjaya mengatasi rekod-rekod sebelumnya, yang mana pada hari terakhir, mereka menetapkan tanda aras baharu dan memecahkan rekod mereka sendiri serta rekod kebangsaan Brunei yang dicatatkan oleh Universiti Brunei Darussalam.
Pada 2017, set bacaan keefisienan oleh PB adalah 85km/kWh diikuti dengan 117km/kWh pada 2018 dan pada tahun ini, PB mencapai 252km/kWh.
Pasukan perempuan PB berkenaan mencatatkan kedudukan kelapan daripada 22 pasukan dalam kategori kenderaan prototaip elektrik bateri yang lulus pemeriksaan. Ini menjadikan PB pasukan terbaik dari Brunei Darussalam dari segi kecekapan dan ranking.
Turut mewakili negara dalam kategori berkenaan adalah pasukan Ecodrive UTB dari Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Satu lagi pencapaian bagi PB adalah penyertaan kali pertama dalam kategori Urban Concept Internal Combustion Engine Gasoline iaitu menerusi pasukan Pengembara 1.
Sebanyak 56 pasukan menyertai kategori berkenaan tetapi hanya 35 pasukan termasuk pasukan PB, berjaya lulus semua 13 pemeriksaan teknikal. Dalam kategori ini, perlumbaan hanya merangkumi lima percubaan dengan tempoh, pusingan dan tetapan litar yang sama. Walaupun pasukan PB lulus pemeriksaan teknikal, mereka tidak berjaya melengkapkan pusingan disebabkan masalah pada hos bahan api.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, perlumbaan yang berlangsung pada 27 April hingga 2 Mei lalu berkenaan telah disertai oleh lebih 110 pasukan pelajar dari 18 buah negara di seluruh Asia Pasifik dan Timur Tengah.
Pasukan-pasukan PB telah ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Brunei Gas Carrier Sdn Bhd (BGC), FYFE Borneo Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Aewon Sdn Bhd, Jerudong Park Country Club, Institution of Engineering and Technology (IET), MOC Sdn Bhd, Swee Sdn Bhd, Ken and Tan Sdn Bhd, Awang Tum Tum Cycle, GHK Auto Assembly Sdn Bhd, Keluarga Tasmera, Jetwires Trading & Electrical Services, BM-Bekalan Motor Sdn Bhd, Syarikat Nurruz, Low San Hardware, Glamco Aviation (B) Sdn Bhd dan Syarikat Kilang Papan Forestry Sdn Bhd.