Yakin kemampuan dan kudrat isteri

IPOH – Yakin dan percaya dengan kemampuan isteri membuatkan bekas atlet tenis paralimpik, Firdaus Ibrahim membenarkan isterinya menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke sini semata-mata untuk urusan perpindahan.

Isterinya, Siti Fatimah Mohd Nor, 26, dari Marang, Terengganu menunggang motosikal jenis Honda Wave 100, manakala Firdaus memandu kereta yang telah diubah suai mengikuti rapat suri hatinya bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Firdaus, 24, yang berasal dari Alor Pongsu, Bagan Serai berkata kisah perjalanan mereka yang tular dalam media sosial berlaku pada Ahad lepas ketika pasangan itu mahu melengkapkan perpindahan selepas Firdaus, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), mendapat tawaran kerja dengan Jabatan Perhutanan Negeri Perak di sini pada April lepas.

“Selepas itu kami tinggal di Meru, tapi disebabkan sewaktu itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiada rentas negeri dibenarkan, maka ada barangan termasuk motosikal ditinggalkan di Kuala Lumpur.

“Tetapi bila dah boleh rentas negeri, kami pergi ambil motor itu, milik isteri, dan dia sendiri beritahu akan tunggang motor itu kerana telah biasa dari zaman belajar lagi. Saya meletakkan kepercayaan padanya dan ikut dari belakang,” katanya ketika dihubungi media di sini, baru-baru ini.

Bekas Atlet Tenis Paralimpik Malaysia ,Firdaus Ibrahim, (kanan) bersama isterinya bergambar bersama pada majlis penghargaan ringkas buat pasangan tersebut. – Bernama

Kisah perjalanan pasangan itu yang mendirikan rumah tangga pada Ogos 2019 menjadi tular dalam media sosial apabila ramai yang mengagumi kesungguhan Siti Fatimah, namun terdapat juga komen negatif warganet terhadap pasangan itu.

Menurut Firdaus, mereka memulakan perjalanan dari rumah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada pukul 11.30 pagi sebelum tiba di Meru kira-kira 4.30 petang dan telah berhenti di Hentian Rehat dan Rawat sebanyak tiga kali termasuk sekali untuk mengisi minyak.

“Sebelum gerak isi penuh tangki minyak motor dan sediakan sebotol besar minyak. Kami juga bawa bekal makanan,” katanya yang lumpuh kedua-dua belah kaki selepas terlibat kemalangan ketika berumur 16 tahun.

Firdaus berkata sepanjang perjalanan dia yang memandu kereta diubah suai menggunakan alat kawalan tangan yang bersambung dengan pedal minyak dan hanya bergerak sekitar 60 hingga 70 kilometer sejam untuk mudah memantau isterinya kecuali bila terdapat banyak kenderaan di belakang.

Selain itu, Firdaus berkata dia dan isterinya yang bekerja sebagai pembantu pejabat semasa di Kuala Lumpur merahsiakan daripada keluarga masing-masing mengenai rancangan mereka kerana tidak mahu ada yang bimbangkan mereka.

Mengenai kerjaya sebagai atlet paralimpik, Firdaus yang pernah memenangi pingat gangsa semasa temasya Sukan SEA 2017 berkata dia telah menyerahkan surat untuk berhenti bermain kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebaik menerima tawaran kerja dari Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

“Saya bersama MSN sejak 2015 dan saya tidak menyesal gantung raket. Telah sampai masa untuk fikirkan cabaran baharu dan buat benda baharu,” katanya sambil menyatakan rasa terharu terhadap pengorbanan Fatimah. – Bernama