Yaman lapor kes pertama COVID-19

DUBAI, 10 APRIL – Yaman hari ini melaporkan kes pertama COVID-19 di wilayah selatan yang berada di bawah kawalan kerajaan negara itu.

Kumpulan bantuan kemanusiaan memberi amaran sekiranya koronavirus itu merebak di Yaman, sistem penjagaan kesihatannya yang amat lemah tidak mungkin dapat menghadapi ancaman itu dan akan menjadi malapetaka besar. Jawatankuasa Kecemasan Kebangsaan mengesahkan kes pertama itu dilaporkan di daerah Hadramout.

Ia berkata bahawa keadaan pesakit dilaporkan stabil dan sedang menjalani rawatan. Perintah berkurung dikenakan di wilayah itu bermula Jumaat hingga Sabtu, di samping pasaran awam turut ditutup dan semua jenis perhimpunan dilarang, kata pejabat media Hadramout. Setakat ini, lebih 1.6 juta kes COVID-19 direkodkan di seluruh dunia dengan lebih 95,000 kematian manakala 356,673 pesakit disahkan sembuh. – AFP