JAKARTA – Interaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan anak muda dari Malaysia dan Indonesia di Jakarta baru-baru ini semasa program ‘Temu Anwar’ menarik perhatian ramai di Indonesia, termasuk seorang cendekiawan yang mengagumi perjalanan politik Perdana Menteri Malaysia yang memberi inspirasi.
Acara yang diadakan semasa Anwar berada di sana untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta baru-baru ini mendorong penyelidik Universiti Indonesia (UI), Yanuardi Syukur untuk menulis mengenai perjalanan politik perdana menteri Malaysia yang luar biasa dan pandangan yang dikongsinya semasa interaksi itu.
Dalam artikelnya di laman sosial Majelis Ulama Indonesia (MUI), beliau menulis: “Kita semua tahu bahawa perjalanan lelaki berusia 76 tahun ini sangat sukar. Lebih sedekad dihabiskan di penjara tetapi semangatnya untuk bertahan membara, akhirnya membawanya menjadi perdana menteri pada 2022.”
Yanuardi turut memetik seorang sarjana lain Dr Nurul Isnaeni, pakar Perhubungan Antarabangsa di UI, berkata perjalanan politik Anwar yang mencabar telah membentuk beliau menjadi seorang ahli politik yang tabah dan pemimpin yang terselamat daripada cabaran yang dihadapinya.
Semasa program itu Anwar menceritakan perbincangan dengan Presiden Indonesia ketiga BJ Habibie di Jakarta pada 2015, hanya sehari sebelum mahkamah tertinggi di Malaysia menjatuhkan hukuman penjara kepadanya.

Di sebalik kebimbangan mendalam Habibie terhadap nasib yang menanti Anwar, beliau tetap dengan keputusannya untuk kembali ke Malaysia dan meneruskan perjuangannya walaupun jika itu bermakna masuk penjara sekali lagi.
Yanuardi, yang juga pengurus hubungan luar dan kerjasama antarabangsa Dewan Ulama Indonesia, menyatakan ini mencerminkan kekuatan semangat manusia seperti yang dilihat pada masa lalu di mana pejuang kemerdekaan menentang penjajah dalam mempertahankan martabat manusia dan tanah air mereka.
Selain itu, berdasarkan pemerhatian, Yanuardi melihat Anwar mengekalkan hubungan rapat dengan isteri dan anak-anaknya. Beliau berkata ini juga jelas dalam mesej Anwar semasa interaksi apabila beliau menekankan kepentingan sokongan keluarga pada masa yang mencabar.
Menurut Yanuardi, Anwar menganjurkan menggunakan masa dengan bijak, dan mengutamakan iman dan ilmu.
Semasa di penjara, Anwar menghafal al-Quran dan Hadis, membaca buku yang diterima daripada rakan-rakan global dan menekankan pengayaan diri melalui pembelajaran dan perkongsian ilmu dengan masyarakat. – Bernama