Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kedutaan Besar Diraja Thailand di Brunei Darussalam, hari ini, telah menyerahkan derma berjumlah $2,500 kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA).
Derma tersebut merupakan hasil kutipan sumbangan daripada kedutaan dan para vendor yang ikut serta dalam Bazar Thailand yang dianjurkan oleh pihak kedutaan pada 28 hingga 30 Ogos lalu di Pusat membeli-belah OneCity.
YASKA menjadi organisasi yang terpilih bagi acara amal berkenaan yang juga bersempena dengan September sebagai Bulan Kesedaran Kanser Kanak-kanak.
Majlis penyerahan derma berkenaan berlangsung di Blok Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di mana derma disampaikan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul kepada Timbalan Pengerusi YASKA, Dayang Tsara’Nawwarah binti Abdullah Chen.
Hadir bagi menyaksikan majlis penyerahan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.
Majlis terlebih dahulu dimulakan dengan sesi perkongsian mengenai YASKA yang disampaikan oleh Dayang Tsara’Nawwarah.