Yasmin Hani sah bercerai

Spekulasi rumah tangga Yasmin Hani dan Shahrin Razali yang dikatakan bermasalah akhirnya terjawab apabila pengacara dan pelakon itu mengesahkan mereka sudah berpisah melalui entri di Instagram (IG).

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu ketika dihubungi BH Online enggan berkongsi butiran lanjut perceraian dan punca hubungan sebagai suami isteri berakhir.

Terdahulu, melalui coretan di IG, pelakon drama Hotel itu memberitahu dia dan Shahrin dapat melaksanakan apa yang dipersetujui secara sepakat.

“Kami bersetuju memulakan perjalanan baharu secara berasingan dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

“Kami juga bersetuju untuk kekal bersepakat dalam membesarkan dua anak kesayangan kami dalam ruang yang penuh dengan kasih sayang dan toleransi,” katanya.

Yasmin juga berharap pengertian semua pihak agar dapat memberi ruang dan menghormati keputusan dibuat. – Agensi

Yasmin juga berharap pengertian semua pihak agar dapat memberi ruang dan menghormati keputusan dibuat.

“Semua ini demi kesejahteraan keluarga dan anak-anak kami. Saya juga mahu ucapkan terima kasih buat semua yang menitipkan kata positif dan doa.

“Walaupun memilih untuk berpisah, kami akan terus menjadi keluarga penyayang. Malah, perpisahan ini buat kami jadi lebih rapat.

“Kami masih rapat, kami tetap ibu dan bapa kepada Noah dan Eissa. Moga ruang privasi ini terus dihormati.

“Sama-sama kita menyebarkan aura positif. Alhamdulillah, kami okay dan pandang ke hadapan,” katanya lagi.

Yasmin dan bekas pemain dram Blackrose itu berkahwin pada 2011. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 8, dan Eissa Elzander Wong, 5. – Agensi