Setelah sekian lama mengunci mulut, akhirnya pelawak Saiful Apek memberitahu sahabatnya iaitu Yassin, bakal pulang ke tanah air sebelum Aidilfitri ini.
Berkongsi perkara itu, Saiful atau mesra panggilan Saiful Apek, 56, berkata dia berani membuat pendedahan tersebut selepas diberikan keizinan daripada pihak keluarga Yassin.
“Saya dimaklumkan oleh pihak keluarganya yang Yassin dalam keadan sihat dan bakal pulang sebelum Aidilfitri ini.
“Kami memang tidak sabar untuk menunggu kepulangan Yassin dan akan jadi orang pertama sambut di lapangan terbang nanti.
“Atas keizinan keluarga juga sebab sebelum ini saya dan rakan-rakan lain mendiamkan diri bagi menghormati keputusan keluarga untuk tidak dedahkan,” kata Saiful kepada mStar.

Apek memberitahu perkara itu sewaktu majlis berbuka puasa dan sidang media filem 6 Jilake kelmarin.
Menurutnya, Yassin ada menghubunginya sebelum bulan Ramadan menerusi panggilan video (Google Meet) dan terkejut melihat keadaannya sudah berubah yang semakin berisi.
“Mula-mula dapat berita daripada Yassin melalui Voice Note, tapi sekarang dia boleh video call saya guna Google Meet dan dapat lah tengok daripada saiz S jadi ke saiz M.
“Harap-harap dapat jadi tahfiz lah sebab dengarnya sudah khatam Al-Quran,” ujarnya.
Dalam pada itu, Apek menafikan dakwaan Yassin ditahan di penjara sebaliknya memberitahu pelawak itu kini menjalani rawatan di pusat pemulihan yang dilengkapi pelbagai kemudahan. – Agensi