LYON, 7 MAC – Dayana Yastremska dari Ukraine tewas dengan teruk daripada gelaran WTA yang diimpikan di Lyon kelmarin, seminggu selepas melarikan diri dari serangan bom Rusia di bandar asalnya Odessa, tetapi berjanji untuk menderma hadiahnya untuk menyokong rakan senegaranya yang dikepung.
Pemain nombor 140 dunia, Yastremska, yang menyarung bendera Ukraine di bahunya pada setiap perlawanan minggu ini, tewas 3-6, 6-3, 6-4 kepada Zhang Shuai dari China di final.
“Hadiah yang saya peroleh di sini, saya akan berikan kepada Yayasan Ukraine untuk menyokong Ukraine,” kata pemain berusia 21 tahun itu, yang mensia-siakan kemenangan 2-0 dan 4-2 dalam set penentuan, kepada orang ramai.
“Jika warga Ukraine memerhatikan saya, saya ingin mengatakan bahawa awda semua begitu tabah, awda mempunyai semangat yang luar biasa dan saya cuba berjuang untuk Ukraine,” tambahnya selepas bermain final pertamanya sejak kalah kepada Ashleigh Barty di Adelaide pada tahun 2020.
“Ini adalah minggu yang sangat sukar bagi saya. Terima kasih kepada orang ramai atas sokongan itu. Saya telah berjuang sepanjang minggu, bukan sahaja untuk diri saya sendiri tetapi juga untuk negara saya.
“Semua orang banyak menyokong saya. Saya merasakan begitu banyak sokongan dari orang-orang di sini.
Yastremska tiba di Lyon Sabtu lalu dan bercakap tentang “dibangunkan oleh bom” ketika Rusia menyerang Ukraine, sebelum memulakan perjalanan yang sukar ke Perancis.
Dia dan keluarganya telah menghabiskan dua malam berlindung daripada serangan di tempat letak kereta bawah tanah di bandar pelabuhan Laut Hitam Odessa.
Bapa dan ibunya kekal di belakang selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Yastremska dan adik perempuannya, Ivanna yang berusia 15 tahun ketika mereka menyeberangi Danube dengan bot untuk sampai ke Romania. – AFP