Yayasan angkat tema pertanian dalam majlis Aidilfitri

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) akan menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Yayasan, hari ini, sambutan kali ini akan mengetengahkan petani, nelayan, peniaga, pengusaha dan individu yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian (termasuk tanaman, agrimakanan, ternakan, perikanan dan perhutanan) sebagai peserta.

Selain itu, belia dan pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang pertanian serta beberapa agensi yang terlibat mendukung sektor pertanian turut diketengahkan sebagai peserta pada tahun ini.

Tema sambutan ialah ‘Sektor Pertanian: Survivabiliti Bangsa dan Negara’ yang mengekalkan tema sambutan Majlis Ilmu 2018.

Sementara itu, konsepnya pula adalah untuk mempertemukan para pengeluar hasil pertanian yang terdiri dari para petani, nelayan dan pengusaha, dengan para peniaga (termasuk perusahaan, pasar-pasar raya, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering).

Selain itu juga pengeksport dan pengeluar yang dapat membantu memasarkan hasil pertanian tempatan melalui jalinan niaga (business networking) bagi memudahkan penawaran pasaran produk yang mereka hasilkan.