Yayasan anjur Majlis Doa Kesyukuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) selaku Sekretariat Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) hari ini telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Ulang Tahun Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah yang ke-46 tahun.

Berangkat di majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Juga hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan timbalan pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA dan para jemputan khas yang sebahagian terdiri daripada para penyumbang-penyumbang tetap DANA, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Aturcara majlis dimulakan dengan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil beramai-ramai dan diikuti dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-46 tahun dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah.

DANA merupakan pesambah yang berkekalan dalam bentuk yayasan amal yang disembahkan oleh Yayasan bersempena memperingati pemasyuharan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada 17 Rabiulakhir 1419 bersamaan 10 Ogos 1998.

DANA telah ditubuhkan pada 4 Jamadilawal 1419 bersamaan 25 Ogos 1998.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan menadah tangan semasa doa dibacakan pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Infofoto