Yayasan anjur Majlis Doa Kesyukuran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Ulang Tahun Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang ke-37 tahun.

Dengan mengambil kira situasi semasa berkaitan jangkitan wabak COVID-19 dan bagi memastikan keselamatan semua pihak, majlis hanya dihadiri oleh pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah dan sebahagian pegawai kanan Yayasan dengan jumlah yang terhad.

Antara yang hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Yang Berhomat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; serta Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

Majlis yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu telah dimulakan dengan sembahyang Fardu Zuhur dan Sunat Hajat berjemaah yang diimamkan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik telah dilantik menjadi Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan pada 1 Mac 2013 untuk menerajui pucuk pimpinan tertinggi di Yayasan.

Duli Yang Teramat Mulia sangat prihatin terhadap pengurusan dan perkembangan Yayasan serta sering berkenan untuk meninjau dan melibatkan diri dalam apa jua projek dan aktiviti yang diusahakan dan dianjurkan.

Majlis Doa Kesyukuran sempena Memperingati Ulang Tahun Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang ke-37 telah diadakan dan dimulai dengan sembahyang Fardu Zohor dan Sunat Hajat berjemaah yang dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua serta ahli-ahli lembaga pengarah dan sebahagian pegawai kanan Yayasan. – Gambar serahan Yayasan