Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Sempena menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Jerman dan Brunei Darussalam, Yayasan Max Planck untuk International Peace and the Rule of Law (Heidelberg, Germany) mengadakan dua bengkel mengenai Undang-undang Laut dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam bertempat di Hotel Radisson.
Bengkel berkenaan akan memfokuskan pada perbincangan mengenai interpretasi, penerapan, dan Konvensyen Bangsa Bangsa Bersatu tentang Undang-undang Laut (UNCLOS), serta tiga perjanjian global yang dirumuskan berdasarkan konvensyen berkenaan iaitu antaranya ialah The 1994 Agreement relating to the Implementation of Part XI of UNCLOS (1994 Implementing Agreement).
Dua perjanjian pelaksanaan pertama telah berkuat kuasa, sementara perjanjian yang terakhir menunggu 60 ratifikasi untuk berkuat kuasa.
Bengkel pertama berlangsung pada 29 hingga 31 Oktober terbuka kepada peserta dari Negara Anggota ASEAN, Timor-Leste, dan Sekretariat ASEAN. Bengkel kedua pula akan diadakan pada 2 November nanti dan dibuka kepada peserta dari agensi-agensi berkaitan di Brunei.
Kedua-dua bengkel ini dibiayai oleh Kementerian Luar Negeri Persekutuan Jerman, Berlin. Yayasan Max Planck untuk Perdamaian Internasional dan Supremasi Undang-undang (MPFPR) mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam memberikan bantuan berkaitan perdamaian dan supremasi undang-undang yang berkualiti tinggi kepada negara dan masyarakat.
Selain daripada bidang lain, Yayasan Max Planck juga mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang undang-undang laut, termasuk di kawasan Asia Tenggara.
Pembukaan bengkel pertama telah berlangsung di Hotel Radisson kelmarin yang dirasmikan oleh Duta Jerman, Gerda Winkler; dan disertai oleh wakil MPFPR, Dr Arron Honniball serta wakil dari Kementerian Luar Negara.