ABIDJAN – Di usia 39 tahun, Didier Drogba berada di penghujung kerjaya bola sepak gemilangnya selama dua dekad, enam negara dan jumlah kejuaraan yang telah dimenanginya.
Detik itu kerap dikaitkan dengan nostalgia, malah kesedihan bagi sebahagian besar legenda bola sepak yang sudah berusia.
Namun dalam satu temu bual bersama AFP, Drogba masih menunjukkan semangat yang kuat, dengan melancarkan satu projek sekolah bagi kanak-kanak kurang berkemampuan dan berang mengenai prestasi merosot pasukan kebangsaan.
“Saya berkata kepada para remaja yang mahu menjadi Didier Drogba, Samuel Eto’o, Yaya Toure bahawa pendidikan adalah sangat penting, yang mana ia membolehkan anda mempunyai kerjaya yang bagus,” katanya, merujuk kepada tiga wira bola sepak negara itu.
“Cara terbaik untuk mempunyai impak pada masa depan orang ramai adalah memberikan mereka pendidikan. Terima kasih kepada pendidikan, kami berjaya mengelakkan masalah-masalah etnik sosial. Kami belajar untuk bertolak ansur dan mengelakkan peperangan,” kata Drogba.


Badan amal Drogba yang sudah berusia tujuh tahun telah merasmikan sebuah sekolah baru bagi 350 orang kanak-kanak di Guiberoua, barat daya Ivory Coast di mana ekonomi didominasi oleh perdagangan koko.
Sebagai pengeluar koko terbesar dunia, Ivory Coast bergelut untuk menghalang kanak-kanak bekerja dalam sektor itu, di mana antara 300,000 dan sejuta kanak-kanak melakukan kerja yang berkaitan dengan koko, menurut perangkaan industri coklat.
Kanak-kanak ini membesar dengan menggunakan parang untuk membuka kacang-kacang untuk dijual dan menerima pendedahan pendidikan yang sedikit.
Enam kelas dan satu padang
Sekolah baharu itu, yang akan terletak di Kampung Pokou-Kouamekro, akan mempunyai enam kelas, sebuah kantin, tiga rumah guru dan setentunya padang bola sepak.
“Masyarakat Pokou-Kouamekro, yang mempunyai lebih daripada 4,000 orang penduduk, sehingga kini hanya mempunyai sebuah sekolah tidak rasmi yang diperbuat daripada kayu, dengan tiga kelas bagi semua kanak-kanak,” menurut International Cocoa Initiative (ICI), yang bekerjasama dengan Yayasan Didier Drogba dan gergasi makanan, Nestle untuk membina sekolah baharu itu.
Kisah kerjaya Drogba telah membawanya ke Perancis, England, China, Turki, Kanada dan Amerika Syarikat.
Dia paling diingati ketika bersama Chelsea, membantu kelab menjulang empat gelaran Liga Perdana, empat Piala FA dan Liga Juara-Juara 2012, yang mana dia terkenal selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88 dan kemudian berjaya menyempurnakan penalti dalam penentuan sepakan penalti menentang Bayern Munich. Dia dua kali dinamakan Pemain Terbaik Afrika.
Pada tahun lepas, sebagai pemain dan pemilik bersama, dia telah menyertai Phoenix Rising, sebuah kelab Arizona dalam divisyen kedua sistem liga Amerika, dengan harapan untuk menyertai Major League Soccer (MLS).
“Hari ini saya sangat dedikasi kepada kelab saya, saya masih mempunyai satu musim dengan matlamat untuk sampai ke MLS,” katanya.


Krisis ‘Gajah’
Kekecewaan terbesar Drogba adalah terhadap pasukan kebangsaan Ivory Coast, yang mana dia menjadi kapten kepada pasukan yang meraih tempat kedua dalam Piala Negara-Negara Afrika 2006 dan 2012, membantu negaranya mara ke Piala Dunia pada tahun 2006, 2010 dan 2014.
Tetapi ‘Gajah’ gagal untuk melayakkan bagi Piala Dunia tahun ini di Rusia, kegagalan yang dikatakannya sebagai ‘krisis yang amat dikesali’.
“Terdapat tidak puas hati, kemerosotan terbesar, ia perlu untuk bercakap mengenainya. ia perlu diselesaikan, semuanya perlu diselesaikan agar bola sepak Ivory keluar dari krisis itu.”
Drogba bukan asing lagi masuk campur dalam masalah negaranya, yang dibelenggu dengan krisis politik dan persengketaan saudara antara 2002 dan 2011.
Pada bulan Oktober 2005, selepas Ivory Coast melayakkan diri ke Piala Dunia buat pertama kali di Jerman, pasukan itu berlutut di televisyen kebangsaan dan Drogba merayu bagi gencatan senjata bagi semua peperangan. Rayuannya diikuti dengan satu gencatan senjata.
Pada tahun 2007, dia menggesa bagi Piala Negara-Negara Afrika untuk diadakan di Bouake, kubu kuat pemberontak, dalam satu usaha menyatukan negara itu.
Dan pada tahun 2011, dia menyertai Truth, Reconciliation and Dialogue Commission untuk mengukuhkan keamanan yang belum stabil.
Tiada cita-cita politik
Namun Drogba berkata dia tidak mempunyai cita-cita untuk memasuki politik seperti bekas bintang bola sepak Afrika yang menjadi presiden, George Weah, pemimpin Liberia yang baru dilantik.
“Ini setentunya bukan cita-cita saya. George memang menyimpan cita-cita itu selama beberapa tahun. Namun ia tidak bagi saya,” kata Drogba.
“Saya mengucapkan tahniah kepada George Weah. Dia adalah abang kepada saya, contoh ikutan.
“Apa yang dia capai menunjukkan kerja keras dan ketekunan, anda boleh mencapai matlamat anda, merealisasikan impian bagi kebaikan masyarakat.” – AFP






















