Yayasan hulur lebih $10,000, beg kitar semula

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Dalam usaha mempertingkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup serta mempertingkatkan pembangunan sosiobudaya dan sosioekonomi dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa pihak, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Kumbang Pasang itu menyaksikan penyampaian sumbangan kepada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16, Pertubuhan WARGAMAS Brunei (WEB), Kumpulan Mahasiswa Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) dan mangsa rumah roboh.

Sumbangan berkenaan yang termasuk 500 beg kitar semula dan wang tunai berjumlah $10,915 telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

Pada majlis itu, Yayasan menyampaikan sumbangan tajaan 500 beg kitar semula kepada Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16 untuk digunakan semasa sambutan yang diadakan esok.

Sumbangan diterima oleh Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Su-kan, Dayang Mariam binti Ulat selaku penolong setiausaha bersama Jawatankuasa Terting-gi Hari Belia Kebangsaan ke-16.

Dr Nor Imtihan menyampaikan bantuan kewangan untuk WEB kepada Haji Abu Bakar.

Tajaan kewangan $5,000 pula disumbangkan kepada Pertubuhan WEB bagi kegunaan pengurusan dan pentadbiran di mana sumbangan diterima oleh Yang Dipertua Pertubuhan WEB, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.

Ahli WEB terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang telah bersara dan juga bekerja secara persendirian yang berumur dalam lingkungan 55 tahun ke atas.

Sementara itu, tajaan kewangan $915 untuk Kumpulan Mahasiswa PAPRSB IHS adalah bagi menjalankan projek komuniti di bawah program BHSc Medicine. Sumbangan diterima oleh Queenie Yap Xiao Xuan selaku wakil kumpulan.

Seterusnya, bantuan berjumlah $5,000 juga diberikan kepada mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Pengiran Tajuddin Hitam yang diterima oleh ketua keluarga, Awang Mohd Soffri bin Haji Mohd Jamil.

Sumbangan berkenaan dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.