Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Yayasan hulur sumbangan bantuan $39,700

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, menyampaikan sumbangan dalam beberapa bentuk bantuan yang keseluruhannya berjumlah $39,700 kepada Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR), Badan Sukarelawan Da’ie dan sumbangan kewangan kepada mangsa rumah roboh dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri.

    Kesemua sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

    Yayasan mengambil peranan dalam usaha menanam dan memupuk kecemerlangan dalam bidang sejarah, kebudayaan dan kesusasteraan dalam kalangan rakyat.

    Ke arah itu, Yayasan memberikan sumbangan tajaan kewangan berjumlah $15,000 kepada PESEBAR untuk menerbitkan ‘Buku Kesultanan Brunei: Dari Pelbagai Perspektif’ iaitu Kumpulan Artikel sempena Sambutan Jubli Intan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) berjumlah $15,000 pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menyampaikan sumbangan Yayasan kepada Badan Sukarelawan Da’ie yang diterima oleh Dayang Siti Hurul-Ain Diyana .
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan sumbangan Yayasan kepada salah sebuah keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh di Kampung Pandai Besi ‘A’.

    Sumbangan berkenaan diterima oleh Yang Di-Pertua PESEBAR, Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

    Sementara itu, menyedari pentingnya peranan para belia dalam membangun negara, Yayasan sentiasa memberikan perhatian terhadap usaha meningkatkan peranan dan penglibatan para belia dalam program kemahiran dan pembangunan masyarakat.

    Sehubungan itu, Yayasan memberikan tajaan kewangan berjumlah $14,700 kepada Badan Sukarelawan Belia Da’ie di bawah naungan Urus setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah bagi mengendalikan Program Pemantapan Da’ie.

    Sumbangan berkenaan diterima oleh Timbalan Pengerusi Belia Da’ie, Dayang Siti Hurul-Ain Diyana binti Haji Abdul Majid @ Vieana.

    Dalam memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran rumah dan rumah roboh, Yayasan memberikan sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah $10,000 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian rumah roboh di Kampung Pandai Besi ‘A’ pada 25 Disember lalu.

    Yayasan ditubuhkan sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih baginda kepada rakyat baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...