Yayasan hulur sumbangan berjumlah $32,370

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah menyampaikan sumbangan berjumlah $32,370 kepada perwakilan dari Institut Pengajian Dasar, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Persatuan Belia Belait (PEMBELA), Balai Ibadat Hajah Aminah, Kampung Long Mayan, Tutong dan Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah Tutong serta kepada mangsa rumah roboh dan kebakaran.

Kesemua sumbangan telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan pada majlis yang berlangsung di Pejabat Yayasan, Jalan Kumbang Pasang.

Yayasan telah menyumbangkan sebanyak $5,000 kepada Institut Pengajian Dasar UBD bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan untuk mengadakan Simposium Antarabangsa Urus Tadbir Islam kali pertama dengan tema ‘Evolusi Negara Islam’.

Sumbangan adalah sebagai sokongan Yayasan kepada institusi pengajian dalam menjalankan aktiviti penyelidikan dan perkembangan bagi kepentingan dan kemajuan ilmu dan kemasyarakatan.

Menerima sumbangan berkenaan ialah Pensyarah dan Penyelaras Program Graduan, Institut Pengajian Dasar, UBD, Dayang Norainie binti Ahmad.

Dr Nor Imtihan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada majlis yang diadakan di Pejabat Yayasan, kelmarin.

PEMBELA pula menerima sebanyak $15,000 bagi pembiayaan sebahagian daripada perbelanjaan untuk menganjurkan Pertukaran dan Persidangan Kebudayaan Belia Brunei Darussalam 2019 (BDYCEC 2019).

Sumbangan yang dihasratkan dapat mempertingkatkan penglibatan belia dalam pembangunan masyarakat dan negara itu telah diterima oleh Timbalan Yang Di-Pertua PEMBELA, Haji Roslan bin Haji Hamdan,

Seterusnya, bagi mempertingkatkan perkembangan syi-ar Islam, Yayasan memberikan sumbangan sebanyak $1,730 kepada Balai Ibadat Hajah Aminah untuk mengadakan Program Menghalusi Fardu Ain yang akan dijalankan pada 1 hingga 4 Oktober 2019.

Program ini adalah salah satu usaha dalam mengembangkan lagi gerakan dakwah dan syiar Islam di kampung berkenaan yang mempunyai ramai penduduk mualaf.

Sumbangan diterima oleh Ketua Imam Balai Ibadat Hajah Aminah, Awang Muhd Ghazali bin Muhd Ariffin.

Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman Masjid Hassanal Bolkiah pula menerima sebanyak $2,490 untuk pembiayaan aktiviti perkhemahan Dare to be Different 3.0 yang dikendalikan oleh ahli-ahli jawatankuasa serta belia dan beliawanis Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah.

Sumbangan yang merupakan sokongan Yayasan dalam memperkembangkan aktiviti takmir masjid berkenaan di samping memberikan galakan kepada para belia untuk aktif dalam aktiviti keagamaan itu diterima oleh ahli Jawatankuasa Kumpulan Belia ‘Ibadurrahman, Awang Muhammad Firas bin Kalong@Ibrahim.

Mangsa rumah roboh dan kebakaran juga mendapat perhatian Yayasan dan menerima sumbangan berjumlah $8,150 keseluruhannya.

Penerima ialah Awang Sabtu bin Timbul dari Kampung Mentiri yang menjadi mangsa kebakaran rumah pada 2 Ogos lalu dan Haji Mohd Irni bin Haji Mohd Daud, ketua keluarga mangsa kejadian rumah roboh di Kampung Saba Darat yang berlaku pada 7 September lalu.

Yayasan dari semasa ke semasa memberikan pemedulian terhadap golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka yang terlibat dalam musibah rumah roboh dan kebakaran rumah.

Bantuan berkenaan dilaksanakan dengan segera bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.