Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menandatangani memorandum perjanjian dengan Gedung Perniagaan Jaya Hypermart bagi ‘Medical Bank’ dalam memenuhi keperluan pesakit yang merupakan penerima bantuan daripada Yayasan.
Dengan kerjasama berkenaan, ia diharap akan dapat memudahkan dan mempercepatkan lagi penghantaran keperluan pesakit yang memerlukan bantuan.
Majlis penandatanganan telah berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri di mana menandatangani bagi pihak Yayasan ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan dan Penolong Pengarah Urusan Yayasan, Haji Musthapa bin Haji Matahir.
Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan. Yayasan merupakan wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.





























