Yayasan langkah ke depan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Sebagai satu langkah bagi membuka tirai strategi pemasaran baharu, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah melancarkan laman sesawang dan media sosial Kompleks Yayasan dan pembukaan rasmi kedai-kedai baharu.

Hadir bagi menyempurnakan perasmian ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar yang juga selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Lembaga Pengarah Wadah Amal Sdn Bhd.

Dalam temubual ringkas, Yang Berhormat Dato melahirkan perasaan gembira dan berharap dengan pelancaran beberapa kedai baharu serta laman sosial bagi Kompleks Yayasan itu akan dapat menarik lagi perhatian bukan sahaja bagi para pelancong, malah bagi penduduk negara ini.

Beliau berharap lagi, ia akan dapat mempromosikan lagi Negara Brunei Darussalam kepada pelancong-pelancong dengan pelbagai produk tempatan yang ditampilkan di kedai-kedai di sana.

Yang Berhormat Dato juga berkata, bagi meningkatkan lagi tarikan orang ramai, beberapa inisiatif diharap akan dapat diadakan pada setiap Ahad bagi memeriahkan lagi hari Bandarku Ceria dengan mengadakan pelbagai aktiviti menarik di kompleks itu nanti.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi semasa menyempurnakan pelancaran laman sesawang dan media sosial Kompleks Yayasan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi semasa melawat ke kedai-kedai baharu yang dibukakan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi ketika meninjau salah sebuah kedai di kompleks tersebut.

Sementara itu, Pengurus Besar Syarikat Wadah Amal Sdn Bhd, Awang Fazlan bin Haji Othman semasa menyampaikan ucapannya berkata, dengan pelancaran terbaharu ini, Kompleks Yayasan akan kembali menjadi tarikan peniaga dan pengunjung.

Beliau menjelaskan, tema pelancaran berkenaan iaitu ‘Rediscovering A Great Shopping Tradition’ diharap akan dapat menyuntik semangat para penyewa baharu mahupun yang telah lama menjadi penyewa dan juga pasukan pengurusan Kompleks Yayasan.

Laman sesawang serta media sosial Kompleks Yayasan pula diharap akan dapat memberikan maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti Kompleks Yayasan dan pelanggan sasaran supaya mereka lebih mudah untuk mengenali kompleks tersebut melalui paparan maklumat yang disediakan dan memperolehi manfaat daripadanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Seri Paduka Hajah Elinda binti Haji C.A. Mohamed yang juga selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan ahli Lembaga Pengarah Wadah Amal Sdn Bhd, para pesuruhjaya tinggi dan duta besar dari 10 negara anggota ASEAN, Pengarah Urusan Yayasan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny, pegawai-pegawai dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber dan Pelancongan serta para jemputan khas.