SEMPORNA, 16 April – Yayasan Sabah mewakafkan tanah dan bangunan yang dimilikinya di Mukim Bugaya untuk dijadikan Akademi Pengajian al-Quran Semporna (APACS) yang dirasmikan hari ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Sabah berkata ini adalah bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah yang diterajui UMNO bukan sahaja memberi penekanan kepada pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata tetapi turut menekankan aspek sosial termasuk kerohanian dan keagamaan.
“Apabila saya ditemui oleh Wakil Rakyat Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban yang memohon agar sebahagian tanah dan bangunan Yayasan Sabah di sini diwakafkan, saya meluluskan permintaan itu.
“Inilah kerajaan BN diterajui UMNO yang sentiasa mendengar rintihan permintaan rakyat, lebih-lebih lagi wakil rakyat daripada UMNO dan BN. Apa yang baik untuk rakyat, baik juga untuk kita (kerajaan),” katanya ketika berucap pada majlis perasmian APACS .

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di Sabah semalam untuk lawatan rasmi dua hari yang berakhir esok.
Musa berkata apabila berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Zahid, segala keperluan yang bermanfaat untuk rakyat Sabah termasuk Semporna sentiasa dipohon.
“Dan kedua-dua pemimpin kita ini tidak ragu-ragu memberi kelulusan dan pertimbangan, inilah kerajaan BN,” katanya. – Bernama