Bermula dengan perbualan di media sosial sebelum dipertemukan oleh rakan-rakan terdekat, penyanyi Yazmin Aziz akui kini sedang bahagia bercinta dengan pemain bola sepak pasukan The Red Warrior, Nixon Guylherme.
Mudah mencari persamaan antara satu sama lain membuatkan Yazmin terbuka hati untuk menerima lelaki itu sebagai kekasih walau pada awalnya Nixon seolah malu-malu untuk meluahkan cinta.
Yazmin, 20, memberitahu, dia sendiri tidak menyangka Nixon akan jatuh hati kepadanya memandangkan ini adalah hubungan pertama lelaki itu dengan seorang gadis Asia.
Terbuka berkongsi kisah mereka di media sosial, kata peserta Big Stage 2022 ini, ia adalah cara untuk mereka berdua lebih percaya antara satu sama lain. Dalam masa sama, hubungan itu juga turut mendapat restu ibu bapa mereka berdua dan Nixon adalah seorang lelaki yang sentiasa menyokong perkembangan kerjaya seni Yazmin.
Meskipun berbeza agama dan asal kelahiran, Yazmin tidak menganggap itu satu cabaran besar untuk mencintai lelaki asal Brazil itu.
Dia juga sedia untuk berpindah ke negara lain mengikut Nixon memandangkan kerjaya sebagai pemain bola sering bertukar pasukan.
“Nixon sebelum ini pernah tinggal di beberapa buah negara Islam, jadi dia mudah memahami dan menerima cara hidup kita di sini.
“Jika dia perlu berpindah, saya terbuka untuk ikut sama. Kami akan melakukan yang terbaik untuk hubungan kami,” jelasnya. – Agensi