YCIH, TOTAL dilantik bina resort

SINGAPURA, 15 Mei – The Haven Hotels and Resorts Pte Ltd (The Haven Group) baru-baru ini melantik firma China, Yunnan Construction Investment Holding Group Co, Ltd (YCIH) dan firma Indonesia, PT Total Bangun Persada Tbk (TOTAL) sebagai kontraktor utama bagi pembinaan resort The Haven, Lagoi Bay Bintan Resort, bernilai S$1.4 bilion (RM4.1 bilion).

Kontrak bernilai S$288 juta (RM852 juta) itu bagi membina enam menara suite kondominium, hotel lima bintang dengan 250 bilik serta pusat konvensyen 3,000 tempat duduk. Resort itu akan dibina dalam empat fasa di tanah The Haven Group di Lagoi Bay.

Fasa pertama, terdiri daripada dua menara dan rumah kelab dengan kemudahan, akan siap pada suku pertama 2021.

Pembinaan hotel, pusat konvensyen dan baki menara kondominium (bergantung kepada keperluan dan keadaan pasaran) diunjur siap menjelang 2026.

Terletak di kawasan paling eksklusif di Bintan, The Haven, Lagoi Bay Bintan dijangka menjadi antara resort paling unik di rantau ini.

Ia akan menjadi satu-satunya pembangunan bangunan tinggi di pulau yang direka bentuk sebagai pusat peranginan bersepadu yang dibina mengambil kira keluarga, dengan suite kediaman kondominium dengan kemudahan bertaraf dunia.

Banyak pakar pasaran telah mengakui bahawa tapak pusat peranginan itu jarang didapati kerana ia menikmati gabungan lokasi menghadap air yang menarik terdiri daripada laut, sungai dan tasik.

Menaiki feri dari Singapura, Bintan adalah destinasi popular bagi warga Singapura kerana pantainya yang putih, hutan, pokok bakau dan sungai yang tidak tercemar. Keselamatan dan kesalinghubungan yang lebih baik meningkatkan daya tarikan pulau ini. – Bernama