Saturday, December 2, 2023
22.9 C
Brunei

    -

    YDC kembangkan kebolehan, kemahiran usahawan tempatan

    Gambar serahan PPB

    Program YDC Light’s On merupakan sebuah program keusahawanan di bawah kendalian Unit Penyelidikan, Kerjaya dan Keusahawanan, Pusat Pembangunan Belia (PPB) yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019.

    Ia merupakan platfom untuk menggalakkan penglibatan para belia serta komuniti dalam bidang keusahawanan sekali gus mengembangkan lagi rangkaian usahawan tempatan di negara ini.

    Baru-baru ini, seramai 15 orang usahawan telah berjaya menamatkan Program YDC Light’s On IV dan diraikan pada Majlis Sesi Pitching dan Penyampaian Sijil Tamat Program yang berlangsung di Kompleks Sukan Jerudong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penolong Pengarah selaku Ketua PPB Dayang Fauziah binti Salleh. Turut hadir Haji Yusrin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Salleh dari Shell LiveWIRE Brunei, Haji Mohd Sabri bin Haji Suhaili dari Mumtaz Collection dan Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah dari Battle Pro Marketing and Management Services.

    Program bagi kohort ke-4 ini telah berjalan selama dua bulan dari 28 Mac hingga 28 Mei lalu, yang dikendalikan dengan kerjasama LiveWIRE Brunei selaku rakan strategik PPB.

    Antara perisian program ialah kemahiran keusahawanan peringkat asas (Bright Ideas, Business Plan Series dan Financial Management) dan peringkat Masterclass (Design Thinking, Business Model Canvas, Raising Capital, Cost and Cash Management, e-Commerce, Social Media Marketing, Managing Teams dan Pitching).

    Barisan panel juri semasa sesi pitching berkenaan.
    Panel juri memberikan komen pada salah satu pembentangan peserta program.
    Lima belas usahawan telah berjaya menamatkan Program YDC Light’s On IV yang berjalan selama dua bulan dari 28 Mac hingga 28 Mei lalu.
    Pameran mini daripada para peserta turut diadakan semasa majlis berkenaan.
    Dayang Sanisah semasa membentangkan pelan perniagaan beliau di hadapan panel juri.

    Semasa majlis berlangsung, lima orang peserta program telah membentangkan pelan perniagaan mereka dalam bidang seperti agri makanan, terapi kecantikan, pemasangan paip air domestik dan teknologi rekaan fesyen.

    Sesi pitching telah dibentangkan di hadapan panel juri jemputan dari GLC dan industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang perolehan, pemasaran, dan pembangunan perniagaan di negara ini seperti Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Makan Ceria Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Shell LiveWIRE Brunei.

    Antara kriteria pemilihan yang diambil kira oleh panel juri semasa sesi pitching berkenaan termasuk pengurusan kewangan dalam perniagaan, kualiti produk, perkhidmatan dan pembungkusan, pelan perniagaan yang mempunyai kemampanan, kemahiran dalam penggunaan teknologi pintar dan stategi pemasaran.

    Pengurus Perolehan dari Ghanim International Corporation, Dayang Suserena binti Haji Hashim dalam ucapannya selaku ketua panel juri menggalakkan para peserta program untuk berkolaborasi bersama pihak-pihak berkepentingan dan para pengusaha tempatan agar perniagaan mereka akan lebih berdaya maju dan mampan sekali gus dapat membina ekosistem keusahawanan yang sihat untuk negara ini.

    Antara impak Program YDC Light’s On yang ketara sejak perlaksanaannya kepada para peserta adalah mereka dapat mempelbagaikan lagi strategi perniagaan, celik dalam pengurusan kewangan dan bijak dalam menganalisis saingan.

    Melalui platfom sebegini, para peserta program juga digalakkan untuk rajin berinteraksi bersama pakar dalam industri agar produk yang dihasilkan mendapat kritikan membina dan seterusnya diolah sehingga mendapat tempat di pasaran sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

    Dengan adanya platfom sebegini, peserta program juga akan lebih terdedah untuk menyertai program keusahawanan berprestij seperti LiveWIRE Business Awards, Program i-Usahawan dan sebagainya.

    Terbaik dalam pembentangan pelan perniagaan di tempat pertama diberikan kepada Dayang Sanisah anak Laju dari Syarikat Sanisah Laju Enterprise, di tempat kedua diberikan kepada Dayang Nuur Haziqah Nabilah binti Haji Noor Hadi dan Dayang Siti Nazirah binti Haji Mahali dari Syarikat Zoha HN Enterprise, dan di tempat ketiga diberikan kepada Dayang Hajah Jabie binti Haji Wen dari Syarikat Rosbie.

    Majlis berakhir dengan acara bergambar ramai dan menyaksikan pameran mini daripada semua peserta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    New Zealand larang guna telefon bimbit di sekolah

    WELLINGTON, 1 DIS – Telefon bimbit akan dilarang di sekolah-sekolah di seluruh New Zealand, kata Perdana Menteri konservatif Christopher Luxon hari ini, ketika kerajaannya...