Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Yang di-Pertua (YDP) Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman, hari ini, telah mengadakan kunjungan ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) sebelum mengakhiri lawatan ke Negara Brunei Darussalam selama tiga hari, hari ini.
Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah BKISHHB, Haji Ibrahim bin Juma’at serta pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri, Datin Roslina binti Ismail; dan Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali.
Lawatan dimulai dengan sesi taklimat ringkas keselamatan dan penerangan fungsi dan peranan BKISHHB, sekali gus mempromosikannya sebagai sebuah institusi yang menyimpan khazanah warisan Islam yang unik dan berharga koleksi milik peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Rombongan kemudiannya beredar bagi menyaksikan sembilan galeri pameran BKISHHB.
Antara bahan pameran yang menarik dalam galeri-galeri pameran tersebut termasuk koleksi-koleksi mushaf pelbagai bentuk dan ukuran, rambut mulia Rasulullah SAW, cebisan burdah Rasulullah SAW serta replika kesan tapak kaki, pedang-pedang dan tongkat Rasulullah SAW, koleksi pelbagai manuskrip Islam, peralatan astronomi Islam, tongkat, tasbih, fosil dan banyak lagi.
Semasa lawatan berkenaan, rombongan juga turut dipelawa untuk menikmati suasana keindahan panorama sekitar BKISHHB dari atas bumbung. Sebelum mengakhiri lawatan, Tuan Yang Terutama turut menandatangani lembaran kena-ngan setelah merakamkan sesi bergambar ramai.
BKISHHB merupakan manifestasi hasrat KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk memelihara khazanah cendekiawan Islam dengan menggiatkan pengembangannya melalui aktiviti pengumpulan, pemeliharaan, pengkajian, pameran, penyebaran, penyelidikan serta mengongsikan natijahnya bagi kemajuan Islam dan umat seumumnya serta menjadikannya Destinasi Pelancongan Islam Sehenti.