Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Bersempena dengan menjelangnya ulang tahun pertama Yellow Cab Pizza Co. Brunei, mereka telah memperkenalkan produk-produk baharu bagi menawarkan lebih banyak pilihan menarik buat para pelanggan.
Sehubungan dengan itu, para pengamal media telah dijemput ke Yellow Cab Pizza Co. Brunei, Kiulap bagi majlis pelancaran produk-produk baharu Yellow Cab, kelmarin.
Antara produk-produk tersebut adalah Tuna Melt Pizza, Chicken Pesto Pizza, Creamy Chicken Pesto Pizza, Seoul Wings, Honey Garlic Wings, dan Salted Egg Wings.
Juga hadir semasa acara tersebut berlangsung ialah Pengerusi YTT Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Harun bin Haji Ismail.
Di acara tersebut juga, para media juga telah dijemput untuk menyertai pertandingan kecil ‘3 Minute Wings Challenge’, di mana peserta diberi masa selama tiga minit untuk menghabiskan sebanyak mungkin ketulan sayap ayam yang ada.


Cabaran yang dianjurkan oleh Yellow Cab Pizza Co. Brunei itu akan mula dibukakan kepada orang ramai bermula pada bulan September ini, di mana para pemenang kumpulan akan membawa pulang baucar percuma piza bersaiz 10 inci.
Manakala pemenang hadiah utama nanti akan mendapat beg cenderahati dan piza percuma selama setahun.
Pengarah Yellow Cab Pizza Co. Brunei, Yurika Chua, ketika ditemu bual Media Permata kelmarin di acara tersebut menjelaskan bahawa produk-produk baharu tersebut merupakan permintaan atas suara orang ramai.
“Ia merupakan tambahan baharu kerana kami telah menerima maklum balas daripada pelanggan bahawa permintaan terhadap piza tuna begitu tinggi,” jelasnya.
“Oleh yang demikian, sejak kami memperkenalkan Tuna Melt Pizza ini, kini ia menjadi piza yang terkenal dalam kalangan pelanggan kami.”
“Hanya Yellow Cab Pizza Co. Brunei yang mempunyai produk ini berbanding dengan Yellow Cab Pizza Co. di negara-negara lain,” tambahnya lagi.
Yurika Chua juga menekankan bahawa bersempena dengan ulang tahun pertama Yellow Cab Pizza Co. Brunei sejak pelancarannya pada tahun lepas, Yellow Cab Pizza Co. Brunei akan menawarkan banyak promosi istimewa untuk para pelanggan Ogos ini.