Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan sejak pembukaannya pada Ogos tahun lalu, Yellow Cab Pizza Co telah membuka cawangan keduanya di Kompleks Pelangi, Serusop.
Perasmiannya hari ini telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat majlis yang bersama-sama memotong reben perasmian bersama Ketua Pegawai Eksekutif Max Group International, Peter King dan para pengarah serta pemegang saham Yellow Cab Pizza Co Brunei.
Pengerusi YTT Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Harun bin Haji Ismail dalam ucapannya menjelaskan bahawa melalui kerja keras dan komitmen lembaga pengarah dan kakitangan mereka, panduan dan kepakaran Yellow Cab Pizza Filipina dan penerimaan pelanggan piza di Brunei, mereka telah berjaya membuka dan mengendalikan cawangan utama di Kiulap.
“Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada kami oleh Yellow Cab Pizza Filipina kerana memberikan kami perjanjian kontrak francais untuk Brunei, Malaysia Timur dan Labuan. Kami sangat bersyukur kerana komuniti Brunei menerima sepenuh hati dan menikmati Yellow Cab Pizza,” ujarnya.
Menurut beliau, dari hari pembukaan dengan 200 orang pelanggan berbaris hingga tempahan waktu malam yang penuh, mereka dapat merasakan penghargaan daripada para pelanggan untuk pizza mereka.
Piza gaya New York berkenaan dihasilkan dengan bahan-bahan halal tempatan, tambah beliau.
Dengan cawangan kedua di Serusop itu, mereka berhasrat untuk membuka pasaran bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan mereka yang datang dari kawasan Muara dan Berakas.
“Kami yakin bahawa lebih ramai orang akan menikmati piza gaya New York kami dengan pembukaan cawangan ini dan seterusnya,” ujar Dato Paduka Haji Harun.
Beliau juga memaklumkan bahawa mereka kini telah meningkatkan pekerja tempatan mereka dengan lebih daripada 50 peratus.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa pembukaan cawangan baru berkenaan hanyalah satu langkah ke hadapan dalam membawa Yellow Cab Pizza yang terkenal ke Brunei, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Sempena perasmian cawangan berkenaan, orang ramai berpeluang mendapat promosi menarik iaitu satu piza percuma bagi 10 transaksi pertama yang akan diadakan setiap bulan untuk setahun.
Selain itu, 150 orang pelanggan pertama yang membeli piza 10 inci juga berpeluang mendapat piza kedua 10 inci pada harga promosi.
Bagi piza kedua, para pelanggan boleh memilih mana-mana perisa piza seperti NY Classic, Manhattan Meatlovers, Roasted Garlic & Shrimp atau Hawaiian.
Cawangan kedua yang bertemakan ‘indoor dining’ itu mampu menampung sehingga 35 orang pelanggan pada satu masa. Hiasan dalamannya selari dengan landskap bandar New York, bertemakan warna hitam, kelabu dan kuning dengan logo kuning Yellow Cab Pizza di pintu depan.
Setakat ini, Yellow Cab Pizza Co mempunyai lebih 170 buah cawangan di seluruh 11 buah negara antaranya China, Qatar, India, Jordan, Filipina, Singapura, Vietnam dan Negara Brunei Darussalam.
Ditubuhkan sejak 2001, Yellow Cab Pizza mempunyai kepakaran dalam penyediaan piza gaya New York, terkenal dengan menyediakan bahan-bahan premium dan pelbagai ‘topping’.