Yellow Pages kini terdapat dalam e-buku

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JULAI – Dalam usaha berterusan untuk menyediakan rujukan yang lebih mudah bagi mereka yang mencari maklumat, imagine Sdn Bhd dengan kerjasama Tele Directories (B) Sdn Bhd telah memperkenalkan Buku Panduan Direktori Yellow Pages lebih moden yang dikemas kini dengan kod QR.

Pelancaran buku panduan direktori baharu dan pengenalan e-buku baharu itu berlangsung pada majlis yang berlangsung di Bangunan PGGMB, di sini, di mana orang ramai juga dialu-alukan untuk mengembalikan edisi buku panduan lama bermula hari ini selama dua minggu.
Hadir bagi menyempurnakan pelancarannya ialah Ketua Pegawai Eksekutif imagine Sdn Bhd, Dayang Suzana Suharju bersama Pengarah Urusan Tele Directories, James Lee.

Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan daripada kedua-dua syarikat serta para jemputan khas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan imagine, tema buku panduan pada tahun ini didedikasikan kepada kebangkitan digital di seluruh dunia, di mana muka depan buku panduan mengetengahkan Revolusi Industri 4.0 yang khususnya memfokuskan ke atas ekonomi digital dan selanjutnya tatkala teknologi digital baharu terus menjadi mekanisme yang semakin memperkaya kehidupan harian.

Selaras dengan tema ini sementara merevolusikan pendekatan perniagaan Yellow Pages, buku panduan berkenaan kini terdapat dalam e-buku yang menghubungkan syarikat-syarikat dalam buku berkenaan dengan pelanggan da klien berpotensi dengan lebih mudah.

Selain daripada ciri kod QR, e-buku berkenaan juga dilancarkan dengan pautan hiperaktif yang membawa ke laman web perniagaan dan alamat e-mel terus daripada senarai, dengan keupayaan zum untuk pengalaman pembaca yang lebih baik dan terdapat dalam tiga bahagian berkod warna untuk memudahkan rujukan iaitu jabatan kerajaan dengan warna biru, senarai kediaman berwarna putih dan bahagian komersial, atau iklan kecil, dalam warna kuning.

Buku-buku Yellow Pages baharu boleh didapati melalui cawangan-cawangan imagine di seluruh negara, di mana pelanggan boleh melihat kod QR yang dipamerkan di setiap kaunter.

Untuk maklumat lebih lanjut orang ramai bolehlah menghubungi Talk2US di 111 atau melayari platform media sosial.

Dayang Suzana dan James Lee ketika merasmikan e-buku Yellow Pages.