Saturday, January 28, 2023
23.2 C
Brunei

-

Yeoh tagih usaha semua kementerian

NILAI, 9 DIS – Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang baharu, Hannah Yeoh menggesa agar semua kementerian berganding bahu dalam membangunkan sukan kebangsaan.

Yeoh berkata beliau juga mahu melihat lebih banyak lagi syarikat korporat turut sama membantu kerana peranan Kementerian Belia dan Sukan sahaja tidak mencukupi dalam merancakkan pembangunan sukan tanah air.

“Kementerian masing-masing tidak boleh gerak sendiri dan perlu wujudkan lebih banyak koordinasi antara kementerian lain. Seperti contoh, awda mesti berbincang dengan Kementerian Kewangan dan membawa semua rakan kongsi bersama jika mengenai pelepasan cukai, jika mengenai pendidikan awda perlu babitkan Kementerian Pengajian Tinggi juga dan bukan hanya Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pelancaran kejohanan Yayasan Sime Darby Track Series (YSDTS) di Velodrom Nasional di sini, kelmarin.

Yeoh pada masa sama menyambut baik inisiatif Yayasan Sime Darby yang bekerjasama dengan Yayasan Kecemerlangan Sukan Malaysia (SportExcel) menjayakan YSDTS yang menyediakan platform untuk meneroka bakat baharu sukan berbasikal trek Malaysia.

Beliau juga mahu melihat lebih banyak lagi kejohanan sukan tempatan membuka peluang kepada golongan wanita bertanding bagi mereka mempamerkan bakat dimiliki. “Sebagai menteri wanita, ini (penglibatan lebih ramai wanita) adalah satu daripada aspek yang saya akan perhati dan teliti,” katanya.

Dalam pada itu, Yeoh berkata beliau akan mengadakan perjumpaan bersama atlet, pihak berkepentingan dan persatuan sukan dalam satu mesyuarat ‘townhall’ minggu depan.

YSDTS merupakan program selama tiga tahun yang bertujuan menarik minat rakyat Malaysia menceburi sukan basikal selain menggalakkan penubuhan pasukan profesional basikal trek baharu sebagai satu daripada saluran pencarian bakat muda untuk skuad Malaysia. – Bernama

Yeoh (tengah) beramah mesra bersama atlet berbasikal Malaysia, Nurul Aliana Syafika Azizan (kanan) dan Anis Amira Rosidi (kiri) pada Majlis Pelancaran Kejohanan Yayasan Sime Darby Track Series (YSDTS) di Velodrom Nasional kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea S sokong hantar bantuan kepada Korea U

SEOUL, 27 JAN – Kerajaan Korea Selatan hari ini berkata bahawa ia akan membantu usaha orang awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara...
- Advertisment -